• English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
Close
Home Jenama Apple

Apple Mac Studio 2026 Malaysia: Dijana cip M5 Max & M5 Ultra, harga bermula RM10,999

  • OLEH Putra Aziz
  • 1:01 am
  • 27/08/2026
  • Komen
Apple Mac Studio 2026 Malaysia: Dijana cip M5 Max & M5 Ultra, harga bermula RM10,999
Share on FacebookShare on Twitter

Selain Mac Mini baharu yang dikuasakan cip M6, Apple turut memperkenalkan Mac Studio terbaharu untuk 2026. Kini, ia dikuasakan cip M5 Max dan M5 Ultra, didakwa Apple sebagai cip paling berkuasa pernah dihasilkan mereka setakat ini.

Meskipun Mac Studio mengekalkan reka bentuk desktop kompak yang sama bersaiz 7.7 x 7.7″, peningkatan utamanya terletak pada komponen dalaman. Selain prestasi CPU dan GPU yang lebih pantas, Apple kini memberi penekanan khusus terhadap pemprosesan AI secara terus pada peranti, di samping cip M5 Ultra kini menyokong RAM sehingga 512GB.



Harga dan ketersediaan Mac Studio 2026 di Malaysia

Berikut adalah harga permulaan Mac Studio dengan cip M5 Max dan M5 Ultra di Malaysia:

  • Mac Studio (Cip M5 Max) – Bermula RM10,999 (Model asas: CPU 18-teras, GPU 32-teras, RAM 36GB, Storan SSD 512GB)
  • Mac Studio (Cip M5 Ultra) – Bermula RM24,999 (Model asas: CPU 30-teras, GPU 64-teras, RAM 96GB, Storan SSD 1TB)

Bagi yang mahukan konfigurasi paling tinggi, Mac Studio dengan cip M5 Ultra boleh dikonfigurasi dengan spesifikasi sehingga CPU 36-teras, GPU 80-teras, RAM 256GB, serta storan SSD 16TB pada harga RM82,599. Dengan harga sebegitu, anda sebenarnya sudah boleh membeli sebuah Proton S70 baharu.



Menariknya, ini bukan konfigurasi memori maksimum yang ditawarkan untuk Mac Studio terbaharu ini. M5 Ultra sebenarnya menyokong RAM sehingga 512GB, tetapi Apple menyatakan pilihan tersebut hanya akan tersedia lewat Oktober nanti.

Mac Studio terbaharu ini akan dibuka untuk tempahan awal di Malaysia bermula Khamis, 27 Ogos 2026, jam 9 pagi, menerusi kedai dalam talian Apple. Ia kemudiannya akan sedia untuk dibeli mulai 22 September 2026.

Sama seperti siri sebelum ini, komputer ini dijual secara berasingan tanpa monitor, papan kekunci, atau tetikus. Untuk skrin paparan, Apple menawarkan Apple Studio Display 27 inci 5K pada harga bermula RM6,499, manakala Apple Studio Display XDR 27 inci 5K dijual bermula RM13,499.

Apa yang baharu pada Mac Studio 2026?

Meskipun tiada perubahan pada reka bentuk luaran, bahagian dalaman siri Mac Studio 2026 menerima lonjakan ketara dengan cip pemproses baharu lebih berkuasa.

Bagi M5 Max, model asas kini mendapat CPU 18-teras dan GPU 32-teras, berbanding CPU 14-teras dan GPU 32-teras pada M4 Max sebelumnya. M5 Max ini boleh dikonfigurasi sehingga GPU 40-teras dan 128GB memori bersatu. Menurut Apple, ia menawarkan kelajuan jalur lebar memori (memory bandwidth) sehingga 614GB/s, naik daripada 546GB/s pada M4 Max.

Salah satu perubahan besar pada generasi M5 ini ialah penambahan Neural Accelerator pada setiap teras GPU, direka khusus untuk mempercepatkan beban kerja AI. Apple mendakwa M5 Max ini mampu memproses prompt LLM sehingga 3.9x lebih pantas dalam LM Studio, serta prestasi Magic Mask sehingga 3x lebih pantas dalam DaVinci Resolve Studio, berbanding M4 Max.

Untuk grafik pula, Apple mendakwa GPU pada M5 Max ini sehingga 50% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya, dan turut mendapat ray tracing berbantukan perkakasan generasi ketiga.

M5 Ultra menyokong RAM sehingga 512GB

Bagi yang memerlukan prestasi lebih tinggi lagi, terdapat cip M5 Ultra yang baharu.

Menurut Apple, M5 Ultra ini menggunakan teknologi UltraFusion generasi seterusnya, dan menampilkan seni bina quad-die pertama Apple Silicon untuk system-on-chip siri M. Ia boleh dikonfigurasi sehingga CPU 36-teras dan GPU 80-teras, berbanding M3 Ultra sebelumnya yang maksimum hanya pada CPU 32-teras dan GPU 80-teras.

M5 Ultra ini turut mendapat Neural Accelerators pada GPU. Apple mendakwa ini memberikan prestasi pengkomputeran AI puncak sehingga 4.3x lebih pantas, serta prestasi grafik sehingga 1.8x lebih pantas, berbanding M3 Ultra. Prestasi multithreaded CPU pula didakwa sehingga 1.3x lebih pantas.

Namun, mungkin peningkatan paling besar terletak pada bahagian memori. M3 Ultra sebelum ini menyokong RAM sehingga 256GB, tetapi M5 Ultra kini menggandakannya kepada 512GB, untuk pilihan konfigurasi GPU 80-teras. Jalur lebar memori turut meningkat, daripada 819GB/s pada M3 Ultra, kepada 1.2TB/s pada M5 Ultra.

Menurut Apple, tambahan memori dan jalur lebar ini membolehkan Mac Studio menjalankan model AI yang besar sepenuhnya pada peranti (on-device), tanpa perlu bergantung kepada pelayan awan. Media Engine pada M5 Ultra ini turut dipertingkat mampu main balik serentak sehingga 33 strim video 8K ProRes 422 pada 30fps.

SSD lebih pantas, Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6

Selain cip baharu, Apple menyatakan Mac Studio 2026 ini turut mendapat seni bina SSD generasi seterusnya, menawarkan kelajuan pemindahan data sehingga dua kali ganda berbanding model sebelumnya. Sambungan wayarles turut dinaik taraf menerusi cip N1 Apple, membolehkan sokongan Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6 buat pertama kalinya pada Mac Studio. Sebagai perbandingan, model sebelumnya hanya menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3.

Mac Studio ini turut menyokong Thunderbolt 5, dengan jalur lebar sehingga 120Gbps. Model M5 Max menawarkan 4 port, manakala versi M5 Ultra pula menawarkan sehingga 6 port secara keseluruhan. Dari segi sokongan paparan luaran pula, model M5 Max mampu menggerakkan sehingga empat paparan 6K serentak, manakala model M5 Ultra berupaya menyokong sehingga lapan paparan 6K serentak.

Turut disertakan ialah sokongan genlock menerusi USB-C untuk penyelarasan paparan dengan peranti rakaman kamera profesional, seperti yang terdapat pada iPhone 17 Pro. Mac Studio terbaharu ini akan menjalankan macOS 27 yang dilengkapi siri AI baharu dikuasakan Apple Intelligence.

Sebarang maklumat lanjut boleh anda dapatkan menerusi laman produk Mac Studio 2026.

Tags: appleapple malaysiamac studioMac Studio M5 Max
Putra Aziz

Putra Aziz

POPULAR

Apple Mac Studio 2026 Malaysia: Dijana cip M5 Max & M5 Ultra, harga bermula RM10,999

Apple Mac Studio 2026 Malaysia: Dijana cip M5 Max & M5 Ultra, harga bermula RM10,999

27 August 2026
Poco F9 Pro dan F9 Ultra bakal dilancar 1 September, ini spesifikasi yang dijangka

Poco F9 Pro dan F9 Ultra bakal dilancar 1 September, ini spesifikasi yang dijangka

25 August 2026
Vivo V80 Lite 5G bakal dilancar 3 September, bawa bateri besar 10,000mAh

Vivo V80 Lite 5G bakal dilancar 3 September, bawa bateri besar 10,000mAh

22 August 2026
Siri Honor Pad 20 Malaysia: Tampil skrin 3K, bateri 10,100mAh & diskaun 15% untuk pelajar

Siri Honor Pad 20 Malaysia: Tampil skrin 3K, bateri 10,100mAh & diskaun 15% untuk pelajar

24 August 2026
Sony Xperia 10 VIII rasmi: Spesifikasi tak banyak berubah tapi harga lebih mahal

Sony Xperia 10 VIII rasmi: Spesifikasi tak banyak berubah tapi harga lebih mahal

25 August 2026
Samsung Galaxy S26 FE Malaysia: Exynos 2500 dengan One UI 9 baharu, dari RM2,899

Samsung Galaxy S26 FE Malaysia: Exynos 2500 dengan One UI 9 baharu, dari RM2,899

27 August 2026

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com
Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com – Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN