U Mobile kini memperkenalkan pelan jalur lebar rumah baharu ULTRA Home 5G Pro. Ia menjadi tambahan kepada pelan Ultra Home 5G sedia ada.
Menurut U Mobile, pelan baharu ini direka khusus untuk pengguna yang mahukan sambungan 5G berkelajuan tinggi, terutama untuk kegunaan gaming. Ia menawarkan kelajuan sehingga 2Gbps, selain membawa beberapa ciri baharu seperti 8×8 5G-A Broadband dan AI-powered Game Turbo, yang masing-masing didakwa sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia.
ULTRA Home 5G Pro berharga RM98/bulan

Di bawah ULTRA Home 5G Pro, terdapat dua pelan yang disediakan.
Pelan ULTRA Home 5G Pro ditawarkan pada harga RM98/bulan dengan kuota FUP sebanyak 2,000GB dan kelajuan sehingga 2Gbps. Ia turut disertakan dengan Huawei H168 Wi-Fi 7 Router bernilai RM1,200 serta ciri AI-powered Game Turbo.
Satu lagi pilihan ialah ULTRA Home 5G Pro x sooka Premium yang berharga RM128/bulan. Pelan ini turut menawarkan kuota FUP 2,000GB, kelajuan sehingga 2Gbps dan router Huawei H168, selain langganan sooka Premium bernilai RM80.10 yang memberi akses kepada tiga peranti dan satu TV.
U Mobile turut menyediakan beberapa pilihan TV Samsung yang boleh ditambah bersama pakej, dengan harga bermula RM62/bulan.
Sebagai perbandingan, pelan ULTRA Home 5G sedia ada berharga RM68/bulan dengan kuota FUP 1,000GB, manakala pelan bersama sooka ditawarkan pada harga RM98/bulan.
Secara asasnya, ULTRA Home 5G Pro menawarkan dua kali ganda kuota FUP, kelajuan sehingga 2Gbpsdisertakan router Wi-Fi 7 yang lebih baharu, serta ciri tambahan seperti 8×8 MIMO 5G-A dan AI-Powered Game Turbo.
Buat masa ini, ULTRA Home 5G Pro hanya tersedia di Semenanjung Malaysia, manakala tarikh ketersediaan di Sabah dan Sarawak akan diumumkan nanti.
8×8 MIMO 5G-A tawar kelajuan sehingga 2Gbps
Salah satu ciri utama ULTRA Home 5G Pro ialah konfigurasi 8×8 MIMO 5G-A, yang menurut U Mobile merupakan yang pertama digunakan untuk jalur lebar 5G-A di Malaysia.
Konfigurasi 8×8 MIMO membolehkan router menerima lebih banyak aliran data secara serentak daripada rangkaian ULTRA5G berbanding konfigurasi 4×4 MIMO biasa. U Mobile mendakwa ia boleh meningkatkan kelajuan sehingga dua kali ganda, dengan kelajuan sehingga 2Gbps bergantung kepada liputan, kekuatan isyarat dan faktor lain.

Selain kelajuan, konfigurasi ini juga memberikan kapasiti lebih tinggi apabila banyak peranti disambungkan kepada router pada masa yang sama.
Bagaimanapun, selepas mencapai had FUP 2,000GB, kelajuan internet akan dikurangkan kepada 512Kbps sehingga kitaran bil seterusnya. Pengguna yang memerlukan lebih banyak data boleh membeli tambahan kuota 1,000GB pada harga RM30.
Pelan ini turut terikat dengan kontrak selama 24 bulan.
AI Game Turbo utamakan trafik gaming
Bagi pengguna yang gemar bermain game, ULTRA Home 5G Pro turut dilengkapi AI-powered Game Turbo. Ciri ini menggunakan pengoptimuman pada peringkat rangkaian untuk mengutamakan trafik permainan, dengan tujuan memberikan pengalaman gaming yang lebih responsif dan latensi lebih rendah, seumpama pengalaman menggunakan sambungan fiber.
Game Turbo menyokong beberapa permainan popular termasuk Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, League of Legends, Dota 2, Fortnite dan GTA V, selain permainan lain yang disokong. Anda boleh semak senarai penuh permainan yang disokong.
Router Huawei H168 hadir dengan Wi-Fi 7

Kedua-dua pelan ULTRA Home 5G Pro turut disertakan dengan Huawei H168, router 5G-A yang menyokong Wi-Fi 7.
Router ini mempunyai 40 antena dengan gain 14dBi, selain RAM 1GB dan ROM 512MB . Ia menyokong 8×8 MIMO 5G SA dan mempunyai keupayaan kelajuan 5G sehingga 11.7Gbps muat turun dan 2.5Gbps muat naik secara teori.
Untuk Wi-Fi 7 pula, router ini menggunakan sistem tri-band yang menawarkan kelajuan sehingga 688Mbps pada 2.4GHz dan sehingga 2,882Mbps pada setiap jalur 5GHz.
Router ini turut menyokong Multi-Link Operation (MLO) serta sehingga 192 sambungan secara serentak. Pengguna yang mempunyai lebih daripada satu router juga boleh memanfaatkan sokongan EasyMesh dan Mesh+.
Untuk sambungan berwayar, Huawei H168 mempunyai dua port RJ45 Gigabit Ethernet, iaitu satu untuk LAN/WAN dan satu lagi untuk LAN.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman ULTRA Home 5G Pro.





