Oppo secara rasminya telah memperkenalkan dua ahli terbaharu dalam barisan siri-A mereka iaitu Oppo A7 Pro 5G dan Oppo A7 Pro Max 5G. Kedua-dua model ini memfokuskan kepada keupayaan sistem kamera 50MP dengan ciri AI Zoom Selfie, ketahanan fizikal gred tentera, serta penawaran bateri berkapasiti gergasi sehingga 10,000mAh.
Bersama pengumuman ini, Oppo Malaysia turut telah mengumumkan promosi tempahan awal dengan pelbagai tawaran rebat menarik di Malaysia.
Promosi tempahan awal siri Oppo A7 Pro di Malaysia

Bersempena dengan pelancaran, Oppo Malaysia mengadakan promosi tempahan awal yang berlangsung dari 11 September hingga 18 September 2026, khusus buat pembeli di Oppo Online Store.
Dalam tempoh ini, pembeli berpeluang mendapatkan pakej tawaran bernilai RM629 dengan membayar RM50 apabila membeli salah satu daripada dua model ini. Pakej ini merangkumi baucar hadiah Oppo Enco Air4 untuk pembeli model A7 Pro Max, atau baucar Oppo Enco Buds3 Pro untuk pembeli model A7 Pro.
Pembeli A7 Pro Max akan menerima baucar hadiah fon putik Oppo Enco Air4, manakala pembeli A7 Pro akan menerima baucar hadiah fon putik Oppo Enco Buds3 Pro.
Selain itu, setiap tempahan awal layak menerima rebat pelancaran secara terus, iaitu diskaun RM200 bagi model A7 Pro Max dan RM100 bagi model A7 Pro. Pembeli juga ditawarkan promosi pembelian dengan pembelian (PWP) untuk memiliki pembesar suara tanpa wayar portabel Oppo pada harga RM149 (harga asal RM249) atau fon putik Oppo Enco Buds3 pada harga RM99 (harga asal RM129), tertakluk kepada ketersediaan stok.
Walau bagaimanapun, Oppo Malaysia masih belum mendedahkan harga jualan rasmi bagi Oppo A7 Pro dan A7 Pro Max di Malaysia.
Spesifikasi Oppo A7 ProMax 5G

Dari segi reka bentuk, A7 Pro Max 5G membawakan panel belakang 3D berasaskan corak ombak yang diinspirasikan daripada alam semula jadi. Peranti ini turut menampilkan Multi-Colour Breathing Light di belakang, lampu yang berfungsi untuk notifikasi, panggilan masuk, dan status pengecasan. Untuk ketahanan, model ini turut membawa ketahanan hentakan tahap tentera serta penarafan kalis air dan debu IP69K.
Di bahagian paparan, A7 Pro Max dilengkapi skrin AMOLED bersaiz 6.78″ dengan resolusi 1.5K (2772×1272 piksel), kadar penyegarabn 120Hz dengan bezel ultra-nipis 1.65mm. Skrin ini mampu mencapai kecerahan puncak sehingga 1,800 nits dan dilindungi kaca Crystal Guard.

Bagi keupayaan fotografi, skrin depannya memuatkan kamera selfie ultralebar 50MP dengan sudut pandangan 100 darjah. Ia disokong fungsi AI Zoom Selfie yang membolehkan pertukaran nisbah zum antara 0.6x, 1x, dan 2x secara pintar, manakala ciri Natural Tone untuk hasilkan warna kulit yang lebih semula jadi.
Di bahagian belakang pula, terdapat kamera utama 50MP dengan sensor besar 1/2″ yang dilengkapi OIS serta Power Flash 100 Lux untuk hasil tangkapan yang lebih terang dalam keadaan cahaya rendah, bersama kamera monokrom 2MP. Dari segi ciri fotografi AI, model ini turut menampilkan pelbagai fungsi termasuk AI Popout, AI Remix Collage, AI Portrait Glow, dan AI Portrait Retouching.

Dari segi prestasi, A7 Pro Max dijana cip Qualcomm Snapdragon 4 Gen 5, dipadankan dengan RAM LPDDR4X sehingga 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 seluas 256GB, selain turut dilengkapi slot kad microSD bagi peluasan storan. Ia turut digabungkan dengan cip NetworkBoost S1 bersama Touch Response Chip untuk meningkatkan ketersambungan serta kawalan sentuhan yang lebih tepat, disokong sistem penyejukan SuperCool VC seluas 5,000mm² untuk mengekalkan prestasi stabil.
Menguasakan A7 Pro Max ialah bateri nipis berkapasiti 10,000mAh, mampu bertahan sehingga 39 hari mod standby atau 15 jam permainan MOBA dalam sekali cas. Ia turut menyokong pengecasan pantas SUPERVOOC 80W, serta fungsi pengecasan terbalik 27W untuk mengecas aksesori lain semasa bergerak.
Untuk rangkaian pula, model ini turut menyokong AI LinkBoost 4.0, WLAN Auto Log-in serta Dual Channel Network Acceleration, di samping sambungan Bluetooth 5.4 Low Energy, WiFi 5, dan NFC.

Dari segi perisian, model ini menjalankan ColorOS 16 berasaskan Android 16 dengan jaminan kelancaran sistem sehingga 6 tahun. Ia turut dilengkapi fungsi keselamatan AI Call Guard dan One-Tap Security Guard, serta ciri AI seperti AI Writer, AI Doc Scanner dan AI Recording Sticker.
Spesifikasi Oppo A7 Pro 5G

Oppo A7 Pro 5G turut berkongsi kebanyakan reka bentuk dengan model Pro Max, termasuk menggunakan panel belakang corak ombak 3D, ketahanan fizikal gred tentera, serta penarafan kalis air dan debu IP69K. Walau bagaimanapun, model ini tidak dilengkapi dengan fungsi lampu Multi-Colour Breathing Light.
Untuk paparan, peranti ini hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.57″ beresolusi FHD+ (2372×1080 piksel) yang menyokong kadar segar semula 120Hz dengan bezel nipis 1.67mm. Paparan ini menawarkan kecerahan puncak sehingga 1,400 nits, dan turut menggunakan kaca Crystal Guard sebagai pelindung skrin.

Sistem kameranya turut mengekalkan kamera selfie ultralebar 50MP (FOV 100°) di bahagian hadapan dengan sokongan AI Zoom Selfie dan Natural Tone yang sama. Sementara menggunakan susunan kamera sedikit berbeza di belakang, kamera utamanya turut menggunakan sensor 50MP bersaiz 1/2″ yang sama, cuma tanpa sokongan OIS dan fungsi Power Flash 100 Lux, di samping ada kamera monokrom 2MP.
Atas papan utama, peranti ini dijana cip MediaTek Dimensity 6360 MAX, dipadankan dengan pilihan RAM LPDDR4X sehingga 8GB dan storan UFS 2.2 sehingga 256GB. Terdapat juga slot kad microSD disediakan bagi storan tambahan. Ia turut hadir dengan cip NetworkBoost S1 bersama sistem penyejukan SuperCool VC seluas 4,300mm², sedikit lebih kecil berbanding 5,000mm² pada model Pro Max.

Kapasiti bateri turut sedikit lebih kecil, iaitu 8,000mAh, dengan sokongan pengecasan SUPERVOOC 45W serta turut dilengkapi fungsi pengecasan berwayar secara terbalik. Dengan kapasiti bateri tersebut, Oppo mendakwa ia mampu bertahan sehingga 38 hari mod standby dan 14.1 jam masa permainan MOBA.
Dari segi sambungan, A7 Pro menyokong Bluetooth 5.4, WiFi 5, NFC, serta AI LinkBoost 4.0, WLAN Auto Log-in, dan Dual Channel Network Acceleration untuk sambungan yang lebih stabil. Ia turut menjalankan sistem operasi ColorOS 16 berasaskan Android 16 dengan jaminan kelancaran sistem operasi selama 6 tahun.

Maklumat lanjut tentang spesifikasi boleh anda dapatkan di laman produk Oppo A7 Pro Max 5G dan Oppo A7 Pro 5G.






