Hujung minggu makin menghampiri, tapi fikiran masih tepu dan kepala sarat memikirkan destinasi? Percutian pendek 3 hari 2 malam selalunya jadi penawar paling mujarab untuk recharge tenaga, cuma bab nak buat keputusan destinasi yang kadang-kadang buatkan kita terus terbantut. Kalau anda makin buntu, apa kata kali ini kita tukar suasana?
Bayangkan percutian tanpa perlu bersesak dalam lebuh raya atau penat memandu berjam-jam. Dengan laluan rel KTMB anda hanya perlu duduk santai nikmati pemandangan yang melintas di luar jendela, dan biarkan keretapi membawa anda terus ke jantung destinasi idaman.
Mengembara ke utara dengan tren Excursion RTSM
Bagi yang inginkan short escape di hujung minggu mengembara dengan menaiki tren Excursion RTSM edisi utara dengan tawaran tambang sehala ini, bakal bawakan anda dari bumi Perak yang kaya dengan sejarah dan keindahan alam hingga ke syurga makanan serta tapak warisan dunia di Pulau Pinang.
Setiap satu daripada 9 hentian menerusi tren Excursion RTSM Utara ini, dapat membuka ruang untuk anda meneroka mengikut citarasa sendiri.
Trip sehala utara
Setiap satu daripada 9 stesen perantara ini menyimpan identiti unik tersendiri. Anda bebas merancang percutian sehala, sama ada ingin menikmati nostalgia zaman kolonial di Ipoh atau Kuala Kangsar.
Jika anda merancang percutian pendek untuk menikmati kedamaian di Taman Tasik Taiping yang ikonik, pastikan anda turun di Stesen Taiping
Manakala bagi anda yang mahu terus ke stesen terakhir di Butterworth, destinasi ini bukan sekadar hentian penamat tetapi ia adalah pintu masuk ke syurga street food dan pengalaman menaiki feri ikonik merentasi selat menuju ke Georgetown.
Tahu tak selain dapat menghayati panorama sepanjang perjalanan, di tren Excursion RTSM Utara ini juga ada koc Chillax. Di mana dikoc ini anda dapat menikmati pelbagai aktiviti santai seperti bermain permainan PlayStation 5, kad UNO dan permainan interaktif lain bersama ahli keluarga ataupun kawan-kawan.

Jom semak laluan perjalanan tren Excursion RTSM di bawah dan rancang percutian anda berdasarkan hentian perantaraan:
- Stesen KL Sentral
- Stesen Sg Buloh
- Stesen Tg Malim
- Stesen Kampar
- Stesen Batu Gajah
- Stesen Ipoh
- Stesen Kuala Kangsar
- Stesen Taiping
- Stesen Bukit Mertajam
- Stesen Butterworth
Perkhidmatan tren Excursion RTSM ini menawarkan dua jadual perjalanan. Bagi laluan ke utara, tren nombor 1018 akan berlepas dari KL Sentral pada jam 2:24 petang dan dijangka tiba di stesen Butterworth sekitar jam 9:20 malam.
Untuk perjalanan sebaliknya pula, tren nombor 1019 akan bertolak dari Butterworth pada jam 12:30 tengah hari dan tiba kembali di KL Sentral sekitar jam 7:27 malam.
Tambang dan tarikh perjalanan

Berikut adalah info berkenaan harga tambang dan tarikh perjalanan yang perlu anda tahu dan semak bagi merancang percutian di hujung minggu ini.
Harga tambang sehala bagi yang ingin menaiki tren Excursion RTSM Utara ini di caj berdasarkan pilihan jenis tempat duduk:
- Tambang sehala RM60: untuk tempat duduk superior
- Tambang sehala RM90: untuk tempat duduk premier
Tarikh perjalanan tren Excursion RTSM Utara:
- Dari 9 Oktober 2026 sehingga 11 Oktober 2026
Sekadar info, tiket tren Excursion RTSM Utara ini menggunakan konsep kadar rata bagi semua stesen persinggahan. Sebagai contoh ketika proses pembelian, anda pilih tren berlepas dari KL Sentral dan turun di stesen Kampar misalnya. Harga tiket sehala kekal RM60 untuk tempat duduk superior dan RM90 untuk tempat duduk premier.
Terma dan syarat sebelum membeli tiket

Jika anda tertarik untuk mendapatkan tiket tren Excursion RTSM Utara ini, terdapat beberapa terma dan syarat yang perlu anda ketahui terlebih dahulu, berikut adalah terma dan syaratnya:
- Tiket hanya boleh dibeli untuk perjalanan sehala atau dua hala.
- Harga tiket adalah bagi dewasa sahaja.
- Tiada tambang kanak-kanak/ konsesi/ pas percuma ditawarkan.
- Pembatalan tiket adalah tertakluk kepada prosedur serta terma dan syarat pembatalan sedia ada.
- Harga tiket hanya untuk perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth atau sebaliknya.
- Tiket tidak termasuk makanan atau minuman.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket, anda boleh beli terus melalui laman sesawang KTMB, di mesin kiosk tiket di KTMB atau muat turun aplikasi KITS Style di Google Play Store, Apple App Store, Huawei App Gallery untuk membeli tiket perjalanan.
Sumber: X KTM Berhad






