Apple secara rasminya memperkenalkan HomeView, paparan pintar baharu dikuasakan AI yang direka untuk digunakan seisi rumah. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk hiburan dan panggilan video, malah berfungsi sebagai pusat kawalan untuk peranti rumah pintar yang serasi.
Dikuasakan cip Apple A18 bersama Apple Intelligence, HomeView dilengkapi skrin Liquid Retina 7″, kamera Center Stage 12MP untuk FaceTime, dan pembesar suara terbina dengan sokongan audio reruang (Spatial Audio).
Berbeza dengan iPad, HomeView dibangunkan sebagai peranti yang boleh dikongsi seisi rumah. Ia mampu mengecam sehingga enam individu berbeza dan secara automatik memaparkan Home Screen, aplikasi serta widget yang diperibadikan untuk setiap pengguna.
Ia ditawarkan dalam dua versi: model standard bersama tapak pembesar suara, dan model Wall Mounted yang lebih nipis untuk dipasang pada dinding.
Spesifikasi dan ciri utama Apple HomeView

Dari segi spesifikasi, Apple HomeView menampilkan paparan Liquid Retina 7″ dengan resolusi 1088 x 1088 piksel (220ppi). Skrin sentuh IPS ini turut menyokong True Tone, manakala tahap kecerahannya boleh dilaras secara automatik antara 0.3 hingga 500 nits mengikut persekitaran.
Menariknya, antaramuka peranti ini juga akan menyesuaikan paparan mengikut jarak anda dari skrin. Ia akan memaparkan maklumat ringkas apabila dilihat dari jauh, dan menunjukkan maklumat lebih terperinci apabila anda menghampirinya.
Di bahagian dalaman, HomeView menggunakan cip Apple A18, cip yang sama digunakan pada iPhone 16 dan iPhone 16 Plus. Memandangkan ia bertindak sebagai hab pintar, ia turut menyokong Siri AI baharu yang menawarkan perbualan lebih semula jadi, pengetahuan am yang lebih luas, serta keupayaan memahami kandungan pada skrin.

Apabila dipadankan dengan iPhone atau iPad yang menyokong Apple Intelligence, Siri AI boleh menggunakan maklumat peribadi daripada aplikasi yang disokong seperti Messages, Calendar dan Apple Music. Ini membolehkan Siri memberikan respons yang lebih diperibadikan dan melakukan tindakan merentas aplikasi.
Bagi panggilan FaceTime, ia dilengkapi kamera Center Stage 12MP dan susunan empat mikrofon dengan pengecaman suara Siri jarak jauh (far-field).
Untuk hiburan, pengguna boleh menstrim muzik menerusi Apple Music, menonton video di Apple TV, serta mengakses aplikasi audio dan video pihak ketiga yang serasi. Ia turut menyokong ciri Handoff membolehkan pengguna memindahkan muzik yang sedang dimainkan daripada iPhone ke HomeView. Ia juga menyokong audio berbilang bilik melalui AirPlay.

Selain hiburan, HomeView dilengkapi aplikasi seperti Messages, Calendar, Reminders, Find My, Safari dan Weather. Pengguna juga boleh memaparkan foto keluarga, mengakses album kongsi, dan mengemas kini skrin dengan pelbagai muka jam termasuk muka jam animasi Snoopy.
Di dapur pula, HomeView boleh menukar resipi dalam talian menjadi panduan langkah demi langkah, manakala Siri boleh membantu menetapkan pemasa (timer) dan memantau bahan masakan.
HomeView boleh jadi pusat kawalan rumah pintar

Selain digunakan untuk hiburan, HomeView berfungsi sebagai hab rumah pintar yang membolehkan pengguna mengawal peranti serasi seperti lampu, termostat, kunci pintar, bidai dan kamera melalui skrin sentuh atau Siri AI.
Ia menyokong aksesori Apple Home dan Matter, manakala antaramuka Home Camera boleh memaparkan maklum balas langsung sehingga sembilan kamera keselamatan secara serentak.
Dengan langganan iCloud+ dan kamera yang serasi, HomeView mampu mengecam individu, haiwan peliharaan, bungkusan, serta kenderaan. Ciri HomeKit Secure Video turut menyokong perincian video, manakala peranti ini mampu mengesan bunyi penggera asap atau karbon monoksida dan menghantar amaran terus ke iPhone, iPad, atau Apple Watch anda.

Memandangkan HomeView direka untuk dikongsi ramai pengguna, maklumat peribadi seperti Messages dan Calendar hanya akan dipaparkan apabila iPhone atau iPad pengguna yang telah dipadankan berada berhampiran dan dalam keadaan tidak berkunci (unlocked).
Untuk ketersambungan, ia menyokong Wi-Fi 6E, Bluetooth 6.0, dan teknologi rangkaian Thread. Ia juga dilengkapi sensor cahaya sekeliling, sensor suhu dan kelembapan, serta akselorometer.
Pemilihan Model: Tabletop vs Wall Mounted

Model standard Apple HomeView menampilkan tapak dengan pembesar suara yang dihubungkan ke skrin menerusi engsel keluli tahan karat, membolehkan pengguna melaras sudut pandangan skrin. Model ini mempunyai berat 952g dan ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu perak, emas, merah jambu dan kelabu.
Daripada segi audio, model standard dimuatkan dengan dua pemandu julat penuh, satu woofer menghala ke bawah, dan dua radiator pasif yang membantu mengurangkan getaran.

Satu lagi pilihan iaitu Apple HomeView (Wall Mounted), iaitu paparan sahaja yang tampil dengan reka bentuk lebih nipis 9.8mm dengan berat 286g. Ia mengekalkan dua pemandu julat penuh, namun tidak disertakan dengan woofer dan radiator pasif seperti pada versi tabletop. Sebaliknya, Apple telah menala audionya khusus untuk kegunaan pada dinding.

Kedua-dua versi menyokong audio reruang dengan Dolby Atmos untuk muzik dan video, bersama penataan audio komputasi masa nyata. Model Wall Mounted ditawarkan dalam warna iaitu perak dan kelabu.
Perlu diingat bahawa kedua-dua model ini tidak mempunyai bateri terbina dalam dan perlu disambungkan kepada sumber kuasa.
Model standard didatangkan berserta kabel USB-C sepanjang 1.5 meter dan adapter kuasa 30W di dalam kotak. Walau bagaimanapun, untuk versi wall mount, aksesori seperti wall mount yang serasi, kabel USB-C dan adapter kuasa dijual secara berasingan.
Harga dan ketersediaan Apple HomeView

Buat masa ini, Apple masih belum mengumumkan butiran harga rasmi mahupun tarikh ketersediaan HomeView untuk pasaran Malaysia.
Tetapi untuk rujukan anda, di negara jiran iaitu Singapura, kedua-dua model HomeView dijual pada harga yang sama, walaupun model Wall Mounted tidak disertakan dengan beberapa aksesori seperti model standard,
Harga rasmi di Singapura adalah seperti berikut:
- Apple HomeView – SGD 399 (sekitar RM1,275)
- Apple HomeView (Wall Mounted) – SGD 399 (sekitar RM1,275)
Tempahan awal di Singapura akan bermula pada 15 Oktober 2026 jam 9:00 pagi waktu Malaysia, dengan ketersediaan rasmi bagi kedua-dua model bermula 13 November 2026.
Sebagai rujukan, Apple meletakkan harga USD 299 (sekitar RM1,222) untuk kedua-dua versi di pasaran Amerika Syarikat.






