Huawei Malaysia secara rasmi telah melancarkan jam tangan pintar terbaharunya, siri Huawei Watch 6, yang terdiri daripada Watch 6 dan Watch 6 Pro.
Siri jam tangan pintar terbaharu ini hadir dengan sensor X-TAP yang dipertingkat untuk memberikan laporan kesihatan lebih menyeluruh termasuk kajian risiko darah tinggi serta diabetes, menerusi ciri Health Glance. Selain itu, ia turut menawarkan sokongan eSIM, skrin cerah sehingga 3,500 nits dan menyokong lebih 100 mod sukan.
Serentak dengan pengenalan ini, Huawei turut melancarkan fon telinga mampu milik terbaharu mereka, HuaweiFreeBuds SE 5 Max.
Harga dan ketersediaan siri Watch 6 Pro di Malaysia
Bagi pasaran tempatan, siri Huawei Watch 6 ditawarkan pada tanda harga berikut:
Huawei Watch 6 Pro
- Ceramic Edition 43mm – RM2,699
- Space Edition 46mm – RM2,699
Huawei Watch 6
- 42mm – RM1,799
- 46mm – RM1,799
Bagi yang mencari aksesori audio, fon telinga Huawei FreeBuds SE 5 Max pula dijual pada harga RM159.
Sempena pelancaran, pembeli siri Huawei Watch 6 turut menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM993, termasuk fon putik Huawei FreeBuds SE 2 bernilai RM199, keahlian Huawei Health+ selama tiga bulan, langganan Watch Face selama sebulan, waranti APAC selama setahun, perlindungan selama setahun serta satu tali jam tambahan.
Kalau berminat, anda boleh beli jam tangan pintar terbaru Huawei ini menerusi stor dalam talian Huawei Malaysia, Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Watch 6 Pro

Huawei Watch 6 Pro ditawarkan dalam dua pilihan saiz, iaitu 43mm dan 46mm. Model 43mm Ceramic Edition menggunakan badan diperbuat daripada seramik nano-teknologi bersama tali seramik putih, manakala model 46mm Space Edition dibina menggunakan kerangka aloi titanium gred aeroangkasa berwarna hitam serta tali titanium. Muka jam berbentuk bulat turut dilindungi kaca sapphire.

Kedua-dua varian menggunakan paparan LTPO 2.0 AMOLED dengan resolusi 466 x 466 piksel dan kecerahan puncak mencecah 3,500 nits, bersaiz 1.5 inci bagi versi 46mm dan 1.38 inci bagi versi 43mm. Kawalan fizikal dikendalikan menerusi tombol berputar serta butang sisi.

Huawei memperkenalkan sensor X-TAP baharu yang menggabungkan sensor PPG 12 saluran dengan sensor tekanan yang responsif untuk memberikan bacaan kesihatan yang lebih tepat. Melalui Health Glance, pengguna hanya perlu tekan lama sensor X-Tap selama tiga saat dan jam akan memberikan laporan kesihatan dalam tempoh 60 saat. Laporan ini merangkumi sehingga 13 metrik, termasuk kajian risiko hipertensi dan penyakit kardiovaskular menerusi pemantauan 24 jam, serta kajian risiko diabetes berasaskan penjejakan tanda vital selama 3 hingga 14 hari.
Watch 6 Pro juga menawarkan analisis senaman berasaskan AI dan ciri Physical Readiness untuk menilai tahap kesediaan fizikal selepas pengguna bangun tidur untuk bantu pengguna merancang aktiviti harian.

Untuk aktiviti luar, Huawei Watch 6 Pro menyokong GPS dwijalur L1 + L5 serta tampil dengan lebih 100 mod sukan, termasuk golf, berbasikal, menyelam dan larian denai. Ia turut memperkenalkan mod Expedition yang membolehkan pengguna memuatkan laluan lebih awal, menggunakan navigasi titik laluan (waypoint) dan ciri smart backtracking untuk membantu mencari jalan pulang.
Hayat bateri model 46mm dikatakan boleh bertahan sehingga 4.5 hari, atau sehingga 11 hari dalam mod jimat bateri. Model 43mm pula bertahan sehingga 3 hari penggunaan biasa dan sehingga 11 hari dalam mod jimat bateri. Pengecasan 15 minit didakwa mencukupi untuk kegunaan sepanjang hari.

Jam ini juga menyokong sambungan eSIM, Safety Check untuk berkongsi lokasi dan status dengan kenalan terpilih, kawalan melalui gerak isyarat tangan, NFC serta sambungan kepada dua telefon serentak. Ia juga mempunyai penarafan kalis air IP69 dan 5ATM serta menyokong aktiviti menyelam sehingga kedalaman 40 meter.
Speisifkasi Huawei Watch 6

Varian standard Huawei Watch 6 mengekalkan sebahagian besar spesifikasi dalaman yang sama dengan model Pro, termasuk kehadiran sensor X-TAP, pemantauan 13 metrik kesihatan, penilaian risiko hipertensi dan diabetes, keupayaan eSIM, dan kalis air 5 ATM serta IP69.

Perbezaan ketara terletak pada reka bentuk dan bahan binaan. Model 42mm menggunakan kerangka aloi aluminium dengan berat sekitar 38 gram dalam warna emas, manakala varian 46mm menggunakan kerangka keluli tahan karat seberat 60 gram dalam warna biru atau hitam.

Paparannya menggunakan panel LTPO 2.0 AMOLED dengan resolusi serupa, namun dihadkan pada kecerahan puncak 3,000 nits berbanding 3,500 nits pada versi Pro. Prestasi bateri bagi kedua-dua varian saiz standard ini kekal sama seperti model Pro, iaitu sehingga 4.5 hari bagi saiz 46mm dan sehingga 3 hari bagi saiz 42mm dalam mod penggunaan biasa.
Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi, layari laman produk Huawei Watch 6 dan Watch 6 Pro.






