Infinix secara rasminya telah memperkenalkan penawaran audio terbaharunya untuk pasaran Malaysia menerusi Infinix ZCLIP 2 Pro. Ia merupakan putik telinga tanpa wayar jenis terbuka (open-ear) dengan rekaan klip yang disasarkan buat pengguna yang mahukan keselesaan memakai sepanjang hari sambil kekal peka dengan keadaan sekeliling.
Selain rekaan yang memfokuskan keselesaan fizikal, ia turut padat dengan ciri pintar terbina untuk memudahkan komunikasi harian dan pengalaman pendengaran.
Harga dan ketersediaan Infinix ZCLIP 2 Pro di Malaysia

Infinix ZCLIP 2 Pro ditawarkan untuk pasaran tempatan pada harga rasmi RM399.
Terdapat dua pilihan warna yang disediakan untuk pembeli, iaitu Ungu dan Hitam. Jualan rasmi bagi peranti audio ini akan bermula pada 10 November 2026, jam 8:00 malam.
Bagi yang berminat, ia boleh dibeli secara dalam talian melalui kedai rasmi Infinix di Shopee, Lazada dan TikTok Shop, atau secara fizikal di mana-mana kedai pengedar jenama Infinix di seluruh negara.
Spesifikasi Infinix ZCLIP 2 Pro

Sebagai putik telinga jenis terbuka, ZCLIP 2 Pro boleh diapakai pada telinga tanpa menutup saluran telinga sepenuhnya. Ia menggunakan struktur klip nipis yang dipanggil Airy U-Bridge Fit yang direka supaya fon telinga boleh dipakai dengan selesa dan kekal pada kedudukannya. Dari segi luaran, ia menggunakan kemasan metalik licin NCVM, dengan Infinix mengetengahkan reka bentuknya sebagai aksesori fesyen premium.
Untuk penghasilan bunyi, ia dilengkapi dua pemandu akustik 11mm. Ia telah ditala secara khusus bagi memastikan output bunyi kekal seimbang, jelas, dan kaya dengan butiran walaupun mempunyai rekaan terbuka yang tidak menutup lubang telinga sepenuhnya.

Satu ciri pintar paling menarik pada model ini adalah sokongan terjemahan masa nyata untuk lebih daripada 160 bahasa, yang dikuasakan oleh sistem Folax AI. Fungsi ini berguna untuk menterjemah perbualan ketika melancong atau berkomunikasi dengan rakan sekerja dari negara luar, menggunakan sambungan dengan telefon pintar untuk pengalaman terjemahan.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan ciri Pengecaman Kiri-Kanan Automatik (Auto Left-Right Recognition). Melaluinya, pengguna tidak perlu mengenal pasti kedudukan setiap unit, hanya ambil dan sepit pada telinga, dan sistem akan secara automatik menetapkan saluran audio kiri dan kanan dengan betul.

Bagi tujuan panggilan suara, Infinix memuatkan sistem Batal Hingar Persekitaran (ENC) berpandukan AI menerusi empat mikrofon terbina (4-Mic AI ENC). Sistem ini menapis bunyi bising di sekeliling serta menentang gangguan bunyi angin supaya suara anda kedengaran jelas.
Melengkapkan peranti ini adalah jangka hayat baterinya. ZCLIP 2 Pro mampu memberikan waktu pendengaran keseluruhan sehingga 35 jam dengan bekas pengecas, selain turut menyokong fungsi pengecasan pantas.






