Starlink kini memperkenalkan Mini 2, piring internet satelit mudah alih generasi baharu yang juga merupakan kemas kini kepada model Starlink Mini terdahulu. Menariknya, model baharu ini kini dilengkapi bateri yang boleh ditukar ganti.
Berbeza daripada Starlink Mini asal yang memerlukan sambungan sumber kuasa, model baharu ini lebih mudah dibawa kerana boleh menyediakan sambungan internet satelit terus menggunakan bateri, dengan ketahanan sehingga 4.5 jam sekali cas. Ini menjadikannya lebih praktikal untuk aktiviti seperti berkhemah, perjalanan jauh atau bekerja di lokasi terpencil yang tiada liputan 4G dan 5G.
Menurut Starlink, pengguna boleh mendapatkan capaian internet dalam masa kira-kira 60 saat dengan hanya menekan satu butang selagi mana pandangan ke langit tidak terhalang.
Harga dan ketersediaan Starlink Mini 2
Buat masa ini, Starlink Mini 2 hanya tersedia untuk dipratempah di Amerika Syarikat, ditawarkan secara eksklusif kepada pelanggan terpilih yang menerima e-mel jemputan.
Berdasarkan jemputan yang dikongsi oleh pengguna, Starlink menawarkan Mini 2 pada harga USD 999 (~RM4,070) tidak termasuk cukai. Harga ini merangkumi perkakasan dan langganan perkhidmatan Starlink Roam Unlimited selama setahun. Sebagai perbandingan, perkakasan Starlink Mini versi sedia ada berharga RM930 di Malaysia, tidak termasuk pelan langganan bulanan.

Menurut Starlink, langganan Roam Unlimited 12 bulan itu bernilai USD2,100 (~RM8,550). Pelan ini menyediakan data tanpa had untuk penstriman, panggilan video dan aktiviti internet lain. Ia turut menyokong sambungan semasa bergerak pada kelajuan sehingga 100mph (161km/j), serta perayauan antarabangsa sehingga 30 hari pada satu-satu masa.
Pakej Mini 2 mengandungi pinggan satelit, kabel kuasa USB-C dan satu unit bateri boleh tukar.
Pelanggan yang menerima jemputan boleh mengesahkan tempahan awal dengan deposit sebanyak USD100, yang mana ia boleh dikembalikan. Baki USD899 bersama cukai yang berkenaan akan dicaj apabila peranti dihantar, dan penghantaran dijangka bermula pada pertengahan Disember 2026.

Perlu diingat bahawa pakej USD999 bersama satu tahun Roam Unlimited ini eksklusif kepada tawaran tempahan awal secara jemputan sahaja. Starlink belum mendedahkan harga perkakasan Mini 2 secara berasingan.
Untuk Malaysia, belum ada maklumat harga atau ketersediaan rasmi untuk Starlink Mini 2. Namun, Starlink berkata tempahan awal akan diperluas kepada lebih ramai pelanggan dan lebih banyak negara tidak lama lagi.
Spesifikasi dan ciri-ciri Starlink Mini 2

Naik taraf paling besar pada Starlink Mini 2 ialah penggunaan bateri 71Wh yang boleh ditanggalkan, terletak pada bahagian belakang piring satelit tersebut. Menurut Starlink, bateri ini boleh menyediakan sambungan sehingga 4.5 jam dengan sekali cas.
Jika anda mahukan sambungan internet yang lebih lama, anda boleh tukarkannya dengan unit bateri penuh, yang dijual secara berasingan. Pilihan lain ialah menggunakan sumber kuasa USB-C 60W untuk menghidupkan Mini 2 secara terus. Bateri yang boleh ditanggalkan itu seberat sekitar 490g, dan dilengkapi port USB-C serta penunjuk paras bateri.
Satu lagi peningkatan ketara adalah pada penghala (router) Wi-Fi terbina. Ia kini menyokong piawaian Wi-Fi 6 berbanding Wi-Fi 5 pada model terdahulu. Model baharu ini turut menawarkan liputan Wi-Fi lebih luas sehingga 1,800 kaki persegi (167 meter persegi), berbanding 1,200 kaki persegi (111 meter persegi) pada Starlink Mini terdahulu.

Walaupun mempunyai bateri terbina, Mini 2 sebenarnya lebih nipis daripada model asal, dengan ketebalan 23.1mm berbanding 38.5mm sebelum ini. Namun, dengan unit bateri dipasang, Mini 2 menjadi sedikit lebih berat iaitu sekitar 1.6kg.
Mini 2 turut menggunakan kerangka yang direka semula dengan binaan lebih tahan lasak dan diiktiraf dengan penarafan kalis air dan debu IP67. Ciri lain termasuklah butang kuasa fizikal,penunjuk paras bateri, kaki sokongan terbina, serta pelekap tripod bersaiz standard.

Buat masa ini, Starlink belum mendedahkan kelajuan muat turun dan muat naik yang boleh dicapai oleh peranti ini.
Kehadiran bateri yang boleh ditukar ganti merupakan satu penting untuk tawaran internet satelit Starlink yang paling mudah dibawa. Pengguna kini tidak perlu membawa power bank atau stesen kuasa mudah alih yang berasingan, dan boleh menggunakan pinggan ini di mana-mana seperti hotspot Wi-Fi mudah alih.






