Sekian lama menanti, akhirnya telefon pintar Poco dengan butang bahu mekanikal akan dijual di pasaran Malaysia. Perkara ini diumumkan dalam majlis pelancaran Poco F4 GT peringkat antarabangsa.
Lebih menarik lagi, Poco F4 GT adalah telefon pintar dengan kuasa Snapdragon 8 Gen 1 paling murah dijual di Malaysia. Lebih murah daripada Motorola Edge 30 Pro, Realme GT2 Pro dan Xiaomi 12. Harga rasmi jualannya adalah seperti berikut:
- Poco F4 GT (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM2,299
- Poco F4 GT (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM2,499
Peminat pastinya tidak mahu melepaskan peluang menjadi terawal memiliki Poco F4 GT kerana ada diskaun besar menanti. Poco F4 GT akan mula dijual di Malaysia pada 28 April 2022 di Stor Rasmi Poco di Lazada dan Shopee, dengan diskaun RM300. Ini menjadikan harga promosinya kepada:
- Poco F4 GT (RAM 8GB + Storan 256GB) –
RM2,299RM1,999 - Poco F4 GT (RAM 12GB + Storan 256GB) –
RM2,499RM2,199
Spesifikasi Poco F4 GT
Sebagai telefon pintar gaming, prestasi tinggi adalah perkara paling penting. Bagi Poco F4 GT, ia melabelkan dirinya sebagai peranti gaming terbaik, bermula dengan penggunaan cip Snapdragn 8 Gen 1. Kehebatan ini dipadankan dengan RAM LPDDR5 dan storan dalaman UFS 3.1. Sistem penyejukan LiquidCool Technology 3.0 menyediakan ruang penyejuk cecair seluas 4,860mm2 untuk pelepasan haba lebih tinggi daripada biasa.
Skrin yang menawan disediakan pada Poco F4 GT. Ia memiliki paparan AMOLED 6.67-inci HD Penuh, berkadar penyegaran 120Hz dan kadar sentuhan 480Hz. Skrin ini memiliki kecerahan setinggi 800nits. Kaca Corning Gorilla Victus menjadi pelindung di atas skrin. Pengimbas capjari diletakkan di sisi, bergabung dengan butang kuasa.
Pelengkap peranti gaming kepada Poco F4 GT ini adalah butang bahu mekanikal yang terletak di sisi telefon. Ia boleh disimpan dan dikeluarkan secara magnetik, menggunakan teknologi apungan magnet untuk memberikan pengalaman seperti menggunakan alat kawalan jauh di konsol permainan.
Tenaga untuk telefon ini dihasilkan menerusi bateri 4,700mAh dwi-sel dan ia menyokong pengecasan pantas 120W HyperCharge yang mampu mengecas penuh dalam masa 17 minit sahaja. Poco juga menyatakan, pengguna boleh terus bermain semasa mengecas dan menikmati pengecasan pantas yang mengisi penuh bateri dalam masa 27 minit.
Tidak ketinggalan adalah kamera berkualiti tinggi. Di belakang, ia dilengkapi kamera utama 64MP F1.9 dengan sensor Sony IMX686, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4. Di hadapan, sensor Sony IMX596 digunakan sebagai kamera yang terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Sistem bunyi yang hebat turut ada di Poco F4 GT. Empat pembesar suara stereo terdapat padanya dan ia menyokong bunyi berkualiti tinggi dengan sokongan Dolby Atmos dan Hi-Res Audio.
Poco F4 GT disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, perak dan kuning. Ia menjalankan sistem operasi MIUI 13 berasaskan Android 12.