Anda sedang cari laptop dan bajet anda sekitar RM2,500? Baca artikel ini sehingga habis. Sebab saya ada kongsikan 5 laptop terbaik yang boleh anda dapatkan untuk kriteria tersebut. Anda beroleh laptop dengan CPU terbaik, RAM terluas, storan terluas, dan port I/O paling mewah.
Kriteria memilih laptop sekitar RM2,500
Memilih spesifikasi laptop lebih rumit daripada memilih telefon pintar kerana akan ada masanya model yang kita jumpa di kedai, tidak pun disenaraikan dalam laman rasmi. Jadi, kalau kita cari laptop hanya menerusi laman rasmi, agak susah untuk jumpa spesifikasi yang menarik. Biasanya saya akan tinjau di gedung dalam talian Lazada dan Shopee untuk lihat apa yang ditawarkan oleh reseller di luar sana.
Pertama sekali CPU yang paling sesuai untuk bajet sekitar RM2,500 adalah Core-i5 1135G7 ataupun Ryzen 5600U atau 5500U. Kedua-dua cip ini tidak terlalu baharu dan tidak pula terlalu lapuk. Anda dapat sekurang-kurangnya 4 teras fizikal dan 8 thread pemproses.
Kemudian RAM sekurang-kurangnya 8GB. Kalau ada slot untuk tambah lagi bagus. Begitu juga storan, 128GB ok kalau ada slot sekunder untuk diperluas. Kalau tiada, cari yang 256GB. Pastikan storan menggunakan standard SSD NVME untuk prestasi lebih pantas dan jimat bateri berbanding HDD biasa.
Paparan pula perlulah HD Penuh. Dah tahun 2022, takkan masih di HD pula. Saiz terbaik untuk portabiliti dan produktiviti saya rasakan 14”. 13” anda korbankan produktiviti, 15” anda korbankan portabiliti.
Kalau anda dah tetapkan 3 benda ini, anda bolehlah pergi ke mana-mana kedai untuk minta opsyen yang anda ada. Tapi kalau anda malas, ini ada 5 saranan laptop sekitar RM2,500 daripada saya.
HONOR MagicBook 14 AMD
Honor MagicBook 14 AMD rasminya adalah RM2,499 untuk storan 256GB dan RM2,799 untuk storan 512GB. Beratnya adalah 1.38kg. Laptop ini diperkasa AMD Ryzen 5500U, RAM 8GB, dan ada skrin IPS 14” FHD. Ia memenuhi semua yang saya cadangkan di atas. Paling menarik, badannya diperbuat daripada aloi alumunium. Jadi jangkakan binaan lebih tegap berbanding laptop plastik.
Honor juga pemurah pada sudut port I/O. Anda dapat 1 USB-C, 2 USB-A, 1 HDMI, 1 jek audio 3.5mm. Perlu juga saya petik yang keyboardnya ada backlight. Jarang-jarang laptop pada paras harga ini ada lampu latar papan kekunci.
ASUS Laptop A416
Asus Laptop A416 dijual pada harga RM2,599. Asus katakan laptop ini World Smallest all-Rounder 14” Laptop. Atas papan utama, ia ada Intel Core i5-1135G7, RAM 4GB, storan 512GB. Itu specs rasmi. Ada reseller yang jual RM2,569 untuk RAM 8GB, malahan RAM 12GB pun ada.
Yang dikorbankan, sedikit saja adalah panel paparan. Ia ada panel 14” FHD tapi bukan daripada jenis IPS. Tapi takpalah, anda dapat storan 512GB kot.
Pada segi port I/O, senarainya sama sahaja dengan Magicbook, anda dapat 1 USB-C, 2 USB-A, 1 HDMI dan jek audio 3.5mm.
Beratnya 1.6kg.
Acer Aspire 5 A514
Kalau anda jenis yang alah dengan skrin bukan daripada jenis IPS, Acer Aspire A514 mungkin pilihan yang baik. Spesifikasinya hampir menyamai laptop Asus tadi, tapi panel paparannya adalah jenis IPS LCD pada harga bawah RM2,600. Laptop ini ada skrin sebesar 14”.
Atas papan utama, ia ada Intel Core i5-1135G7 dengan RAM 8GB. Ada 1 slot RAM untuk anda luaskan jika perlu. Storan dah cukup besar pada 512GB, saya tak kisah sangat jika tiada slot tambahan untuk storan. Senarai port I/O juga sama iaitu 1 USB-C, 2 USB-A, 1 HDMI, 1 jek audio 3.5mm. Beratnya 1.45kg.
Lenovo Ideapad 3 14ALC6
Buat anda yang tak kisahkan jenis paparan sebaliknya perlu storan yang lebih luas, cuba pertimbangkan Lenovo Ideapad 3 ini. Harganya bawah RM2,600 untuk RAM 12GB. RAM 8GB anda boleh dapatkan pada harga bawah RM2,500.
Anda dapat laptop dengan AMD Ryzen 5500U, RAM 8GB ada 1 slot untuk tambah RAM. Storan 512GB NVME SSD, ada satu slot untuk tambah SSD 2.5” lagi.
Tapi panelnya adalah jenis TN sebesar 14” FHD. Port I/O agak mewah. Anda dapat 1 USB-C, 2 USB-A, 1 HDMI, 1 jek audio 3.5mm, dan…satu card reader.
Beratnya 1.5kg
HP 245 G8
Buat yang berbajit ketat dan tak boleh lebih RM2,500 walau sedikit, HP 245 G8 mungkin pilihannya. Namun, anda kena korbankan paparannya untuk beroleh spesifikasi menarik. HP 245 G8 ada panel TN pada resolusi 1366×768. Itu saja kelemahannya.
Atas papan utama ada AMD Ryzen 5500U. RAM dan storan ada beberapa pilihan. Paling murah, RAM 4GB storan 512GB. RM2,239. Kalau, nak habiskan RM2,500, anda boleh dapatkan RAM 20GB storan 512GB. Spesifikasi yang paling tinggi boleh anda dapatkan adalah RM2,839. Pada harga itu, anda dapat RAM 20GB storan 1TB. Port I/O laptop ini paling mewah. Ia ada 1 USB-C, 2 USB-A, 1 HDMI, 1 jek audio 3.5mm, 1 card reader, 1 port LAN.
Pautan pembelian
Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan mana-mana laptop di atas, pautannya adalah seperti di bawah: