Hampir 99% hutang kepada penumpang telah diselesaikan oleh semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang penerbangan Capital A. AirAsia juga kekal komited untuk menyelesaikan baki 0.8% permintaan bayaran balik akibat pandemik secepat mungkin.
Syarikat yang bernaung di bawah AAAGL adalah AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines, yang menggunakan pesawat berbadan sempit seperti Airbus A320.
Berbeza pula dengan syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh, AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX). Penyelesaian penuh masih dalam proses dan mereka mempunyai rancangan yang kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua yang terkesan sejak dua tahun lalu berikutan Covid-19, dalam beberapa bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas. AirAsia telah menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua dan majoriti daripada tetamu kami telah bersetuju untuk menerima bayaran balik menerusi akaun kredit dan kami amat berterima kasih kepada mereka. Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai tetamu kami telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami.”
Tan Sri Tony Fernandes juga berkata bahawa ramai yang masih keliru antara syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group dan syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh AAX dan TAAX yang merupakan entiti berasingan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “Kami teruja untuk kembali terbang tinggi selepas dua tahun tidak beroperasi. Kami telah menyambung semula penerbangan ke Sydney, New Delhi dan Seoul baru-baru ini dan akan mengumumkan beberapa lagi laluan tambahan ke beberapa destinasi popular dan destinasi jarak jauh baharu, di mana kami yakin ia bakal mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Di bawah terma skim penstrukturan semula hutang yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini, kami secara sah tidak dapat melakukan bayaran balik melalui tunai kepada para tetamu. Walau bagaimanapun, AAX berbesar hati untuk menawarkan baucar perjalanan kepada tetamu yang boleh ditebus serta-merta. Baucar perjalanan ini juga sah selama lima tahun dan boleh digunakan untuk perjalanan masa hadapan ke mana-mana destinasi jarak sederhana dan jarak jauh kami yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Sehingga kini, majoriti daripada semua tetamu yang terjejas telah menerima baucar perjalanan mereka (berjumlah lebih 155,000 tetamu) dan kami mensasarkan untuk menyelesaikan baki baucar perjalanan sebanyak 30% lagi dalam beberapa minggu akan datang.”
Pulangan dalam bentuk baucar
Jika anda masih memiliki kredit tidak guna atau pas tanpa had RM400 AirAsia X, mereka telah menggantikannya dengan baucar perjalanan yang sah digunakan dalam masa 5 tahun. Menurut terma dan syarat, baucar ini hanya boleh digunakan pada penerbangan AirAsia X sahaja yang kini telah beroperasi antara Kuala Lumpur ke Sydney, New Delhi dan Seoul. Berbeza dengan kredit sebelum ini, baucar ini hanya boleh digunakan membayar tambang asas sahaja, tidak untuk membayar cukai lapangan terbang, bayaran, insuran serta tambahan seperti bagasi, pilihan kerusi, makanan dan lain-lain.
AirAsia X juga menyatakan komitmen mereka untuk menyelesaikan hutang dengan memberikan 0.5% satu kali bayaran jumlah tertunggak kepada penumpang pada Mac 2023. Pelanggan juga berpeluang menerima sebahagian keuntungan AirAsia X jika ia mencapai sasaran tertentu pada akhir tahun kewangan 2023-2026, seperti yang dijelaskan di dalam Explanatory Statement.