Salah satu perkhidmatan utama BigPay adalah penghantaran wang ke akaun bank luar negara sepantas kilat. Kini BigPay mengumumkan bahawa mereka menambah perkhidmatan Cash Pickup (pengambilan tunai) di Indonesia dan Filipina.
Dengan Cash Pickup, penerima di Indonesia dan Filipina boleh menerima wang tunai tanpa akaun bank. Wang tunai yang dihantar ini boleh diambil daripada lokasi fizikal terpilih.
BigPay melancarkan perkhidmatan Cash Pickup kerana melihat ramai penggunanya di Malaysia dan Singapura, menghantar wang ke Indonesia dan Filipina. Dengan cara baru ini, BigPay merapatkan jurang terhadap penerima yang tidak memiliki akaun bank, memudahkan lagi keluarga atau rakan di luar negara menerima wang dari Malaysia.
Cara menghantar Cash Pickup
Jika anda sudah biasa menggunakan penghantaran wang antarabangsa di BigPay, maka cara untuk Cash Pickup juga hampir serupa. Hanya pergi ke bahagian ‘Payments > International Transfers‘. Kemudian pilih matawang yang mahu dihantar.
Di sini, anda pilih label Cash Pickup, sama ada untuk Indonesia IDR Cash Pickup atau The Philippines PHP Cash Pickup. Masukkan maklumat penerima dan lokasi mengambil wang. Akhir sekali, kongsi maklumat penghantaran ini kepada penerima.
Cara mengambil wang
Terdapat lebih 14,000 lokasi mengambil wang yang dihantar menggunakan BigPay Cash Pickup. Di Indonesia, wang ini boleh diambil di mana-mana POS Indonesia. Di Filipina pula, antara lokasi pengambilan adalah di BDO Cash Pickup, M Lhuillier, Cebuana Lhuillier, Palawan Pawnshop, LBC Express, SM Counters, BPI, Metrobank, dan RD Cash Padala Pawnshop.
Untuk mengambil wang ini, penerima mestilah memiliki maklumat penghantaran wang dan membawa nombor PIN serta kad pengenalan diri. Ia juga mesti diambil dalam sela masa yang ditetapkan.
Pada bulan April lepas, BigPay mengumumkan sokongan DuitNow QR dan DuitNow Transfer, menjadikan penghantaran wang dalam Malaysia lebih pantas dan meluas. Ini juga menjadikan BigPay menyokong pembayaran DuitNow QR yang kini digunakan oleh semua bank dan platform pembayaran.
BigPay juga awal tahun ini mengumumkan mahu menyediakan kemudahan pinjaman peribadi, tetapi masih tiada khabar berita hingga hari ini. Pinjaman peribadi BigPay boleh dimohon secara digital sepenuhnya dan diluluskan sepantas 5 minit.
AirAsia, syarikat yang menaungi BigPay minggu ini baru sahaja melancarkan e-wallet baru mereka, AirAsia Pocket. Ia hanya boleh digunakan di dalam aplikasi AirAsia Super, menjadikannya memiliki kurang fungsi berbanding BigPay sendiri.