Poco X4 GT telah dilancarkan dalam majlis pelancaran yang serupa dengan Poco F4 malam tadi. Ia menggantikan tempat Poco X3 GT yang dilancar tahun lepas, tetapi harga dilihat telah meningkat.
Menariknya, Poco X4 GT ini bukanlah jelmaan semula mana-mana telefon pintar Xiaomi Redmi Note 11 yang telah dilancar di Malaysia. Malah ia dinaik taraf agak ketara berbanding Poco X3 GT. Bukannya seperti Poco F4 yang hanya sedikit ditukar ganti daripada Poco F3.
Harga dan Promosi Jualan
Poco X4 GT akan mula dijual di Malaysia pada 30 Jun 2022, sedikit lewat daripada Poco F4. Malah, ia dijual secara eksklusif di Lazada terlebih dahulu, dengan harga jualan berikut:
- Poco X4 GT (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM1,499
- Poco X4 GT (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,599
Agak kecewa melihat harga terendah Poco X4 GT meningkat RM200 daripada model sebelumnya. Teatpi harga untuk varian 256GB kekal sama. Bagaimanapun, pembeli terawal akan menerima diskaun membeli Poco X4 GT, sementara stok masih ada.
Pilihan warna yang disediakan untuk Poco X4 GT adalah Biru, Perak dan Hitam.
Potongan harga RM100 untuk pembeli terawal adalah seperti berikut:
- Poco X4 GT (RAM 8GB + Storan 128GB) –
RM1,499RM1,399 - Poco X4 GT (RAM 8GB + Storan 256GB) –
RM1,599RM1,499
Spesifikasi Poco X4 GT
Poco X4 GT kali ini dikuasakan cip Mediatek yang agak baru, Dimensity 8100 5nm. RAM juga dipertingkat kepada jenis LPDDR5, dengan storan kekal menggunakan jenis terpantas UFS 3.1. Dengan ini, boleh dikatakan prestasi Poco X4 GT meningkat agak banyak berbanding Poco X3 GT.
Sayangnya, ia masih menggunakan paparan LCD. Skrin ini berukuran 6.6-inci HD Penuh dan ada kadar penyegaran tinggi 144Hz tetapi kadar sentuhan lebih rendah 270Hz. Poco dalam pembentangannya menyatakan ini adalah paparan LCD terbaik, lebih bagus daripada iPhone SE. Tetapi pasti ramai lebih gemar skrin AMOLED 120Hz berbanding LCD 144Hz.
Kamera di belakangnya dilengkapi sensor utama 64MP F1.89, sensor ultralebar 8MP F2.2 dan sensor makro 2MP F2.4. Kamera hadapannya 20MP F2.45, dimuatkan di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Tenaga bateri sebesar 5,080mAh dimuatkan di dalam Poco X4 GT dan ia menyokong pengecasan pantas 67W. Kapasiti sebesar ini memerlukan 46 minit untuk mengecas dari 0-100%.
Sistem bunyi Poco X4 GT dihasilkan menerusi speaker stereo di bawah dan atas telefon, dilengkapi teknologi Dolby Atmos. Ia juga masih mengekalkan pemancar infra merah dan jek audio 3.5mm di atas telefon.
Poco X4 GT vs Redmi Note 11 Pro+ 5G
Melihatkan tanda harganya, Poco X4 GT bersaing dengan model terbaik peranti kelas pertengahan Xiaomi iaitu Redmi Note 11 Pro+ 5G. Redmi ini dikuasakan cip Dimensity 920, RAM LPDDR4x dan storan UFS 2.2 sahaja. Menunjukkan prestasinya lebih rendah daripada Poco X4 GT.
Tetapi Redmi Note 11 Pro+ 5G menggunakan paparan AMOLED 120Hz dan ada kamera utama 108MP. Ia juga menyokong pengecasan pantas 120W, mengecas penuh dalam 15 minit sahaja.
Jika memilih prestasi, sebenarnya Poco F4 atau Xiaomi 11T dengan tambahan RM100 adalah pilihan lebih baik daripada Poco X4 GT. Malah, pengguna biasa akan lebih menghargai skrin dan kamera yang lebih baik di Redmi Note 11 Pro+ 5G, berbanding prestasi tinggi yang tidak digunakan selalu di Poco X4 GT.
Bacaan Berkaitan
- Poco X3 GT tambah 5G dan pengecas 67W menjadi peranti bajet berkuasa tinggi
- Buka Kotak Poco X3 GT: Harga naik untuk 5G & pengecas 67W
- Xiaomi lancar dua model baru 5G bagi siri Redmi Note 11, versi termahal ada pengecas 120W di dalam kotak
- Siri Redmi Note 11: Maklumat penjualannya di Malaysia
- Poco F4: Maklumat penjualannya di Malaysia