Anda ada rancang untuk pulang ke kampung atau berjalan jauh sempena cuti Hari Raya Aidiladha ini? Jika ya, anda disarankan untuk ikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang disediakan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ini, bermula 7 Julai sehingga 12 Julai 2022.
Jadual ini dihasilkan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan nanti serta mengelakkan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak. Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi mengatakan bahawa mereka menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha, berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa.
Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA)
Berdasarkan jadual TTA yang dikongsikan, bermula 7 sehingga 10 Julai, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10:00 pagi. Bagi yang menuju ke negeri lain, anda dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1:00 petang.
Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 10 sehingga 12 Julai, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9:00 pagi.
Jelas Datuk Zakaria, berdasarkan kajian mereka, pengguna lebuh raya dijangka alami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa jika tidak mematuhi jadual TTA untuk kembali semula ke Lembah Klang.
Dapatkan maklumat trafik sebelum mula perjalanan
Untuk memastikan anda tiba ke destinasi pada waktu yang diingini, anda boleh dapatkan maklumat trafik melalui aplikasi PLUS. Muat turun aplikasi ini di Apple App Store atau Google Play Store. Melaluinya, anda berpeluang untuk lihat sendiri paparan kamera CCTV yang menunjukkan keadaan trafik di lebuh raya. Maka, anda bolehlah mulakan perjalanan jika trafik lancar. Malah, ada juga halaman berita trafik disediakan, beserta kalkulator tol untuk memudahkan anda mendapat jumlah bayaran tol apabila menggunakan lebuh raya.
Di samping itu, dapatkan juga maklumat trafik terkini menerusi Twitter rasmi PLUS, talian PLUSLine di 1800-88-0000, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih dan melalui laporan trafik di siaran-siaran radio utama negara.
Jika lokasi yang bakal anda kunjungi itu sangat jauh, maka lebih baik anda ikut jadual TTA ini, serta buat persiapan yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang lebih panjang dan sibuk. Guna aplikasi Waze atau Google Maps untuk rancang perjalanan anda. Pastikan baki kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet anda mencukupi untuk transaksi tol supaya perjalanan lebih lancar.
[Sumber: Plus]