Sukan Komanwel 2022 akan diadakan di Birmingham, England bermula dari 28 Julai sehingga 8 Ogos 2022. Selain terdapat atlet-atlet hebat bakal mewakili Malaysia, berita lain yang membanggakan ialah maskot acara ini diilhamkan oleh anak Malaysia yang berusia 10 tahun.
Direka oleh Emma Lou, anak Malaysia-British ini kini menetap di Britain. Lukisannya diisytiharkan sebagai pemenang pertandingan kebangsaan yang telah berlangsung pada musim panas 2020. Dalam pertandingan tersebut, lebih daripada 50 kanak-kanak di seluruh Birmingham dan West Midlands berumur dari 5 hingga 15 tahun dikehendaki mencipta maskot yang mencerminkan identiti, warisan dan budaya Birmingham dan West Midlands.
Maskot yang terpilih ini diberi nama Perry. Ia bersempena dengan kawasan Perry Barr di Birmingham, di mana Stadium Alexander di situ akan menjadi tuan rumah acara olahraga dan upacara pembukaan serta penutupan temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Menurut Emma Lou, dia memilih lembu jantan kerana adanya Bullring in Birmingham yang terkenal. Dia juga memutuskan untuk menggunakan heksagon kerana bentuk itu mengandungi 3 segi tiga sama sisi dan itu menunjukkan semua orang saling bergantung antara satu sama lain. Dia juga sangat teruja rekaannya itu akan dilihat orang ramai.
BBC melaporkan bahawa ketua pegawai eksekutif Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ian Reid berkata, Perry adalah maskot yang dia harapkan iaitu berwarna cerah, berwarna-warni, bertenaga dan mewakili Birmingham dan West Midlands moden.
Comel kan rekaan maskot Emma Lou ini? Dia memang berbakat besar walaupun baru berusia 10 tahun. Dirinya juga sangat kreatif, malah dia mampu hasilkan rekaan yang memenuhi keinginan pihak Sukan Komanwel Birmingham. Jika di Malaysia, apa agaknya haiwan yang sesuai dijadikan maskot Sukan Komanwel?
[Sumber: MalayMail, OIympic Malaysia]