Tidak dapat dinafikan, Nothing Phone (1) adalah telefon pintar paling popular tahun ini. Ia cuba menampilkan revolusi dalam dunia telefon pintar, dengan memasang 900 LED Glyph di belakang.
Sebagai satu-satunya telefon pintar keluaran syarikat, pastinya kemaskini perisian menjadi persoalan utama pengguna. Apatah lagi dengan ketibaan rasmi Android 13 yang kini telah tersedia untuk peranti Google Pixel terpilih.
Kerana itu, sudah timbul pertanyaan di media sosial tentang bilakah Nothing Phone (1) akan menerima Android 13. Pengasas dan CEO Nothing, Carl Pei telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan.
Pertama, Carl Pei menerangkan bahawa sesuatu produk itu lebih daripada spesifikasi, fungsi dan nombor versi. Apakah maksudnya? Adakah ini petunjuk bahawa Nothing akan mengambil masa yang tidak diketahui lamanya, untuk memberikan kemaskini Android 13?
Perkara ini pernah diterangkan Carl Pei sendiri, sewaktu pertama kali mengumumkan akan melancarkan Phone (1). Menurut Carl Pei, kestabilan, kualiti dan kebolehpercayaan adalah jauh lebih penting daripada banyaknya fungsi yang melampau rupanya. Nothing menumpukan tenaganya pada ujian, jaminan kualiti dan membaiki pepijat berbanding membangunkan fungsi baharu. Malah, Nothing memiliki lebih 500 jurutera untuk menguruskan aduan pengguna dan membaiki pepijat. Bunyinya sangat meyakinkan supaya pengguna tidak berhadapan masalah dengan perisian di Phone (1).
Tetapi jawapan Carl Pei tidak dapat memuaskan semua pihak. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, Carl Pei menerangkan dengan lebih lanjut di media sosial.
Carl Pei menyatakan bahawa sejak Phone (1) dilancarkan, Nothing telah mengeluarkan tiga kemaskini perisian sistem untuk meningkatkan pengalaman penggunaan dan kualiti kamera, hayat bateri serta fungsi baharu. Dia menambah, walaupun mereka sedang bekerja keras, Nothing tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan kemaskini terbaharu dengan mengorbankan pengalaman pengguna. Ia termasuk sistem operasi terbaru Android 13.
Carl Pei juga membentangkan perancangan Nothing untuk mengemaskini Phone (1) kepada Android 13. Ia tidak akan dibawa sepenuhnya tahun ini, tetapi versi Beta akan disediakan menjelang hujung tahun. Phone (1) akan menerima kemaskini Android 13 yang lengkap pada awal tahun 2023.
Jika tidak tahu, Nothing Phone (1) dilancarkan bulan lepas bersama sistem operasi Android 12. Ia dijanjikan akan menerima kemaskini Android selama tiga tahun dan kemaskini keselamatan selama 4 tahun.
Nothing Phone (1) telah dijual di Malaysia pada harga RM2,399 (8+256GB) dan RM2,699 (12+256GB). Ia kini terdapat di Stor Rasmi Nothing di Lazada dan Shopee. Nothing Malaysia juga telah mengumumkan bahawa peranti mereka diedarkan oleh Zitron dan turut menguruskan tuntutan jaminan untuk baik pulih. Kenali Nothing Phone (1) dalam video kami di bawah: