Bersama-sama dengan barisan iPhone 14 baharu, Apple turut mengumumkan AirPods Pro 2, ia adalah kemas kini yang amat dialu-alukan selepas pelancaran AirPods Pro asal dalam tahun 2019 lalu. Daripada helaian spesifikasi, ternyata Apple menggunakan masa yang panjang itu untuk memperlengkap AirPods Pro 2 dengan pelbagai ciri baharu yang menarik.
Di bahagian terus fon putik ini adalah cip pemproses H2 yang baharu. Cip ini memberikan keupayaan lebih baik segenap pelosok, misalnya ciri penyaring hingar pada AirPods Pro 2 adalah dua kali ganda lebih baik berbanding sebelumnya.
Selain cip, pembaharuan seterusnya adalah ciri peka sentuhan yang diterapkan pada bahagian putik unit audio ini. Pemakai boleh sentuh dan leret ke atas dan ke bawah bagi mengubah paras audio mengikut keselesaan.
Sungguhpun fizikaliti AirPods Pro 2 tidak terlalu jauh bezanya dengan AirPods Pro, hayat baterinya adalah lebih baik. Dengan satu bateri penuh, AirPods Por 2 boleh berkhidmat selama 6 jam lamanya.
Disamping itu, Apple memaklumkan yang edisi kali ini ada jumlah waktu guna sehingga 30 jam lamanya iaitu gabungan bateri dalam unit audio berserta bekas penyimpan. Ia adalah 6 jam lebih panjang berbanding sebelum ini.
Bekas penyimpannya, walaupun nampak sama seperti sebelum ini juga telah ditambah baik. Ia kini dilengkapi dengan cip U1 untuk sokong ciri Ultrawide Band yang akan digunakan bersama-sama Find My Location di iPhone bila anda kehilangan fon putik kesayangan anda.
AirPods Pro 2 dijual pada harga RM1,099 di Malaysia dan boleh mula dibeli bermula 23 September 2022 ini. Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.