Celcom kini mengumumkan tambahan kuota untuk pelan pascabayar Celcom Mega serta Xpax Postpaid. Pengguna Celcom Mega akan menerima tambahan 10GB data, manakala pelan Xpax Postpaid digandakan kuota.
Beberapa tawaran lain turut diumumkan, antaranya rebat 50% untuk Talian Keluarga di bawah Celcom Mega. Terdapat juga peranti percuma diberikan apabila mendaftar kontrak pelan.
10GB data tambahan untuk Celcom Mega
Pelan termurah Celcom Mega Lightning iaitu RM80/bulan yang menyediakan panggilan tanpa had dan 40GB data berkelajuan tinggi, kini dinaik taraf ke 50GB. Manakala pelan Mega 98 dinaik taraf daripada 50GB kepada 60GB, pelan Mega 78 daripada 70GB menjadi 80GB, pelan Mega 158 dengan 90GB dinaik kepada 100GB dan pelan termahal Mega 188 ditambah menjadi 130GB daripada 120GB.
Kuota berganda untuk Xpax Postpaid
Pelan Xpax Postpaid dilihat lebih menarik kerana kuota data berkelajuan tingginya digandakan untuk semua pelan. Bagi pelan Xpax Postpaid 40 berharga RM40/bulan, kuota 10GB padanya dinaikkan menjadi 20GB. Pelan Xpax Postpaid 60 berharga RM60/bulan pula, ditambah 20GB menjadi 40GB.
Kedua-dua pelan ini memiliki panggilan tanpa had, serta data tanpa had untuk YouTube, Facebook dan Instagram. Bagaimanapun, data tanpa had ini tertakluk kepada had Polisi Penggunaan Saksama (Fair Usage Policy, FUP) sebanyak 150GB.
Data tambahan dan berganda hanya 12-bulan
Tetapi ada perkara penting perlu diambil perhatian, jika anda berminat dengan tawaran Celcom ini. Data tambahan dan kuota berganda untuk pelan pascabayar ini hanya untuk masa terhad.
Semakan di ruangan terma dan syarat menunjukkan, ia hanya diberikan selama 12-bulan. Tawaran ini juga dibuka dari 25 Ogos sehingga 31 Oktober 2022 sahaja, dan boleh dilanggan oleh sesiapa yang menetap di Malaysia berumur 18-tahun dan ke atas dan memiliki talian Celcom aktif dalam tempoh tersebut.
Pelanggan pascabayar Celcom dan Xpax sedia ada, boleh mendapatkan tawaran ini dengan pengaktifan menerusi SMS. Pengguna Xpax Postpaid 40 dan 60, perlu menghantar SMS ‘FREE10GB’ (Postpaid 40) atau ‘FREE20GB’ (Postpaid 60) ke 28884. Pelanggan Celcom Mega pula boleh menghantar SMS ‘QUOTAMEGA’ ke 28884.
Telefon percuma dengan kontrak 24-bulan
Pelanggan Xpax Postpaid 60 turut berpeluang menerima telefon pintar percuma, apabila mendaftar kontrak selama 24-bulan. Hanya ada satu telefon percuma ditawarkan, Galaxy A03 64GB (bernilai RM549). Tetapi kontrak lebih pendek juga ditawarkan selama 12-bulan, dengan bayaran peranti RM199.
Beberapa peranti lain juga disediakan, dengan harga peranti berbeza mengikut kontrak 12-bulan atau 24-bulan. Antaranya Vivo Y30 5G 128GB (RM719 12-bulan, RM529 24 bulan), Samsung Galaxy M23 5G (RM799 12-bulan, RM599 24 bulan) dan Redmi Note 11 Pro 5G (RM939 12-bulan, RM739 24 bulan).
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Celcom Postpaid.