Stage Manager adalah satu fungsi yang diperkenalkan di dalam iPadOS 16. Ia adalah ciri multitasking seperti sebuah PC iaitu tetingkap APP boleh diubahsuai. Sewaktu diperkenalkan, ia hanya menyokong iPad yang diperkasa cip M1 sahaja.
Namun, berita baik diumumkan Apple dalam versi beta iPadOS 16 terbaharu apabila bukan setakat iPad versi M1, model versi lama yang diperkasa cip A12X dan A12Z juga boleh menggunakan Stage Manager. Hal itu bermakna, semua iPad Pro 11” dan iPad Pro 12.9” generasi ke-3 dan ke atas adalah antara yang akan menerima manfaat Stage Manager.
Perlu dimaklumkan yang Stage Manager untuk gajet-gajet baharu ini ada kekurangannya. Tiada sokongan paparan sekunder apabila anda menggunakan Stage Manager dan ia mungkin ada kaitan dengan ketiadaan cukup kuasa pemproses untuk mengendalikan beban ini.
Apple turut memaklumkan kepada pengguna yang mereka mengeluarkan sementara fungsi sokongan paparan sekunder pada Stage Manager untuk semua iPad sehingga diberitahu kelak. Rasionalnya adalah untuk mereka menggilap dengan lebih baik lagi fungsi tersebut dek terdapat aduan yang agak banyak daripada pengguna iPadOS versi beta tentang ketakstabilan.
Multitasking adalah satu fungsi yang amat dialu-alukan oleh pengguna iPad lebih-lebih lagi apabila Apple mencanang iPad sebagai pengganti laptop. Sudah tentu ciri Stage Manager perlu betul-betul bersedia daripada segenap pelosok sebelum diedarkan kepada pengguna akhir dalam iPadOS versi penuh kelak.
Sumber: Engadget