Dalam majlis Neffos Summer Launch 2018, memang 4 model baru telefon pintar Neffos yang diumumkan akan dijual di Malaysia. Tetapi mereka tidak berhenti setakat itu. Media dikejutkan dengan pengenalan satu lagi model telefon pintar dari Neffos, iaitu Neffos P1.
Neffos P1 adalah telefon pintar yang memiliki projektor terbina di dalam. Ia adalah yang pertama seumpanya dari Neffos dan masih di peringkat prototaip.
Konsep projektor di telefon pintar ini bukanlah perkara baru. Samsung telah memperkenalkannya 6 tahun lepas melalui Galaxy Beam. Motorola juga ada menghasilkan aksesori tambahan projektor, yang boleh dipasang untuk telefon pintar Moto dengan sokongan Moto Mod.
Malah, awal tahun ini terdapat sebuah pengeluar dari Malaysia yang turut memperkenalkan telefon pintar dengan projektor terbina di dalam, SCAND.A Scandalize.
Neffos berkongsi beberapa perkara tentang Neffos P1 ini. Antaranya, projektor di dalamnya menggunakan teknologi pemancar laser MEMS, dikatakan lebih baik dari teknologi DLP. Ia menghasilkan kontras yang tinggi, sehingga 5000:1.
Projektor ini boleh memancarkan paparan sehingga seluas 200-inci dari jarak 5.1-meter, serta dalam resolusi HD. Dari demo yang diperlihatkan, paparannya memang tajam dengan resolusi HD, dan ia memiliki kecerahan yang memuaskan dalam bilik yang bercahaya malap.
Neffos tidak berkongsi pula tentang cip pemprosesnya, tetapi ia memiliki 4GB RAM dan 64GB storan. Bateri pula sebesar 4,000mAh yang dikatakan mampu membuat pancaran projektor sehingga 4 jam lamanya.
Neffos masih belum menetapkan bila Neffos P1 akan dihasilkan di peringkat akhir dan seterusnya dijual ke pasaran. Mungkin hujung tahun ini, mungkin tahun depan.