Mediatek hari ini mengumumkan satu SoC baharu dalam kelas pertengahan. Cip ini berada dalam keluarga Dimensity 1000 dengan nama model Mediatek Dimensity 1080.
Sebenarnya, tatacara penamaan SoC MediaTek kini saya dapati mengelirukan. Dalam keluarga Dimensity 1000 sekarang, sudahpun ada 6 entri SoC bermula dengan siri 1000 hingga 1300. Entah mengapa Dimensity 1080 adalah naik taraf kepada Dimensity 920 sedangkan siri 900 berada dalam keluarganya yang tersendiri.
Spesifikasi MediaTek Dimensity 1080
Dimensity 1080 dikatakan membawakan clockspeed yang lebih pantas berbanding Dimensity 920. Ia masih mengekalkan konfigurasi 8 teras seperti sebelumnya yang dibahagikan ke dalam 2 kluster. Kluster berprestasi tinggi mengandungi 2 teras Cortex-A78 manakala kluster jimat tenaga mengandungi 6 teras Cortex-A55. Beban pemerosesan grafik pada cip ini dikendalikan oleh Mali-G68.
Bagi memanfaatkan kelajuan clockspeed yang dipertingkat, MediaTek turut memperlengkap cip ini dengan sokongan sensor kamera 200MP bersama-sama dengan pemproses isyarat imej (ISP) Imagiq hasilan mereka sendiri.
Lain-lain spesifikasi didapati masih sama sahaja dengan Dimensity 920. Antara yang boleh anda ketahui adalah:
- Resolusi paparan maksimum FHD+
- Sokongan RAM sehingga LPDDR5
- Sokongan Storan sehingga UFS 3.1
- Sambungan 5G dan Wi-FI 6
- Bluetooth 5.2
Mediatek memaklumkan yang telefon yang diperkasa Dimesity 1080 bakal menemui pengguna sebelum tahun 2022 tamat. Sebagai maklumat tambahan, telefon yang diperkasa Dimensity 920 sedia ada yang boleh anda dapatkan di Malaysia adalah seperti Realme 9 Pro+, Redmi Note 11 Pro+, dan Realme Narzo 50 Pro.
Sumber: Mediatek