Jika anda tidak kenal nama RedMagic, ia adalah salah satu pengeluar telefon pintar gaming di bawah jenama Nubia. Sudah lama ia agak menyepi di Malaysia dan hari ini, mereka kembali dengan melancarkan telefon pintar gaming terbaru, RedMagic 7S Pro.
Dengan nama Pro padanya, sudah pasti ia dibekalkan kuasa tinggi dan prestasi yang hebat. Tidak dapat disangkal lagi kerana ia di lengkapi cip Snapdragon 8+ Gen 1. Tetapi apa yang paling menarik padanya adalah, kipas yang terbina di dalam dan skrin penuh tanpa tangkuk serta bingkai sangat nipis. Sesuatu yang sukar ditemui di telefon pintar.
Harga dan promosi tempahan awal
Mereka yang berminat dengan telefon ini, boleh mendapatkannya di Malaysia mulai 29 Oktober 2022. Ia akan terdapat di semua pengedar sah RedMagic seperti DirectD dan Mobile 2 Go, serta di atas talian di Lazada.
Harga jualan rasminya di Malaysia ialah:
- RedMagic 7S Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,999
- RedMagic 7S Pro (RAM 18GB + Storan 512GB) – RM4,999
Tetapi ada tawaran menarik disediakan untuk pembeli terawal. Antara 29 Oktober sehingga 13 November 2022, pembeli RedMagic 7S Pro akan turut menerima hadiah percuma berupa gelang pintar HeyPlus 1S Band (bernilai RM299) dan jaminan lanjutan tahun kedua (bernilai RM199).
Dengan harga premium melebihi RM3,000, telefon ini mahu menyaingi peranti gaming terhebat seperti Black Shark 5 Pro (16+256GB – RM3,999) dan Asus ROG Phone 6 Pro (18+512GB – RM4,999).
Spesifikasi RedMagic 7S Pro
Prestasi tinggi pada telefon gaming terbaru ini digerakkan oleh cip Snapdragon 8+ Gen 1 terhebat masakini. Bagi memastikan penyebaran haba lebih berkesan, ia dibekalkan 10 lapisan sistem penyejukan antaranya kebuk wap, jel penyejuk, gelung tembaga, plat penyebar haba dan paling utama, kipas penyejuk.
Ya, telefon ini ada kipas penyejuk terbina di dalam, seperti sebuah laptop. Ini adalah ciri yang tidak terdapat di telefon gaming lain seperti ROG Phone 6 dan Black Shark 5. Kipas ini diserikan lagi dengan lampu RGB yang serasi dengan peminat permainan video. Tambah menarik, ia ada badan belakang telus cahaya, menampakkan sebahagian rupa belakang telefon tetapi tidak menampakkan sebarang litar atau cip.
Bagi memberikan prestasi tertinggi, RedMagic 7s Pro datang bersama RAM LPDDR5 sehingga 18GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB. Seperti biasa, tiada kad mikroSD diterima.
Paparan di telefon ini juga sangat menarik. Ia memiliki bingkai sangat kecil untuk sebuah telefon gaming, walaupun ada skrin penuh tanpa takuk dan lubang. Ini kerana ia menggunakan kamera hadapan yang tersembunyi di sebalik paparan.
Skrin AMOLED di RedMagic 7s Pro seluas 6.8-inci HD Penuh, dengan kadar penyegaran sehingga 120Hz. Kadar yang agak rendah untuk telefon gaming berkuasa tinggi. Skrin ini ada tahap kecerahan setinggi 600 nits dan dilapisi kaca Corning Gorilla 5 yang sangat teguh.
Telefon gaming berkuasa tinggi pasti ada butang bahu. Bagi RedMagic 7s Pro, ia menggunakan butang bahu sentuh pada kadar 520Hz. Ini agak serupa dengan ROG Phone 6 tetapi berbeza dengan Black Shark 5 yang menggunakan butang bahu fizikal.
Sistem bunyi semestinya stereo, dengan pembesar suara yang menembak ke tepi. Berita baiknya, jek audio 3.5mm masih ada di RedMagic 7s Pro jika ada yang masih mahu menggunakan fon telinga berwayar.
Tenaga pula disalurkan daripada bateri 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 65W. Kepala pengecas GaN 65W dan kabel USB-C ada disertakan di dalam kotak.
Untuk kamera belakang, ia ada kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan pula 16MP, boleh disembunyikan di belakang skrin hadapan.
Sistem operasi RedMagic OS 5.5 berasaskan Android 12 digunakan oelh RedMagic 7s Pro. Terdapat tiga pilihan warna ditawarkan. Warna perak dan hitam supernova dengan belakang lutsinar, serta warna hitam obsidian bukan lutsinar.