Apple telah mengemas kini penawaran siri iPad termurah mereka. iPad kini berada di generasi ke-10 (iPad 10) tapi mereka masih lagi menjual iPad generasi ke-9 (iPad 9). Kalau anda sedang mencari iPad pertama dan tidak mahu berbelanja besar, dua tablet ini adalah yang perlu anda pertimbangkan. Tapi, yang mana lebih berbaloi?
Apple iPad (2022) akhirnya serasi aksesori Windows dan Android
Rekaan yang lebih segar
iPad 10 menampilkan rekaan badan berbingkai nipis, selari dengan saudaranya yang lain seperti iPad Air dan iPad Pro. Di bahagian muka, ia panel paparan Liquid Retina sebesar 10.9” pada resolusi 2360 x 1640. Ia sedikit lebih besar dan tinggi resolusinya berbanding iPad 9.
Kepadatan piksel dan kecerahan panel kekal masing-masing pada 264 PPI dan 500 nits.
FaceID tidak hadir pada iPad ini walaupun anda tak nampak butang TouchID di bahagian depan. Hal ini kerana TouchID telah dipindahkan ke bahagian sisi tablet dan disekalikan bersama-sama butang kuasa.
Stage Manager kini dibuka untuk iPad versi bukan M1, tapi bukan versi penuh
Cip A14 Bionic 20% lebih berkuasa berbanding sebelumnya
Apple memateri cip A14 Bionic pada iPad 10. Ia adalah cip yang sama boleh anda temukan pada barisan iPhone 12. Cip ini dilancarkan dalam tahun 2020 tapi telah berada dalam kategori 5nm. Berbanding A13 Bionic yang digunakan pada iPad 9, A14 Bionic dilaporkan 20% lebih bertenaga berbanding sebelum daripada segi CPU manakala untuk GPU, ia 10% lebih berkuasa.
Komponen yang ketiga adalah NPU dan A14 Bionic ada dua kali ganda lebih banyak teras pemproses yang menyumbang kepada keupayaan pemerosesan AI 80% lebih baik.
Cara untuk paparkan kalendar Hijrah pada peranti iOS
Kamera depan dibangunkan khusus untuk sidang video
Buat pertama kalinya, kamera depan iPad tidak lagi berada di sisi yang lebih pendek. Sebaliknya ia berada di sisi yang lebih panjang. Ia sebenarnya lebih ergonomic apabila bersidang video kerana biasanya tablet berada dalam keadaan landskap dan lokasi kamera baharu ini lebih sesuai untuk sidang video.
Kamera depan iPad 10 masih kekal pada 12MP dan kini ada fungsi Center Stage bagi menambah baik pengalaman bervideo. Yang ditambah baik adalah kamera belakang. Daripada 8MP kepada 12MP, ia juga kini boleh merakam video 4K dan video gerak perlahan 240fps, sekiranya diperlukan.
iPad 10 ada 5G, Wi-Fi 6 dan USB-C
USB-C adalah satu naik taraf yang sangat dialu-alukan. Kini, anda boleh padankan iPad ini dengan pelbagai jenis aksesori USB-C dan boleh saling berkongsinya dengan gajet lain.
Port ini masih akan digunakan untuk mengecas Apple Pencil 1 kerana walaupun iPad lain sudah menyokong Apple Pencil 2 yang dicas secara magnet di bahagian sisi, iPad 10 tiada fungsi itu. Makanya, anda perlu beli penyesua Lightning kepada USB-C secara berasingan.
Wi-Fi 6 juga hadir pada model kali ini yang pastinya menjanjikan capaian Internet lebih pantas (1.2Gbps vs 866Mbps). Buat anda yang beli varian selular, anda beroleh teknologi 5G untuk Internet mudah alih teknologi terkini.
Aksesori baharu kerana titik sentuhan yang baharu
Bersama-sama dengan pelancaran iPad 10, Apple turut melancarkan satu aksesori baharu untuk dipadankan dengan tablet ini. Namanya ialah Magic Keyboard Folio dan ia hadir dalam dua bahagian, satu untuk dilekatkan di belakang iPad sebagai pelindung dan satu bahagian lagi adalah papan kekunci yang bersambung secara magnetik.
Disebabkan titik sentuhan antara papan kekunci dan iPad terletak di bahagian sisi tablet, ia bermakna yang aksesori-aksesori untuk iPad sebelum ini seperti Magic Keyboard, yang titik sentuhannya di bahagian belakang iPad tidak lagi boleh digunakan.
Yang menarik dengan Magic Keyboard Folio ini adalah ia ada touchpad yang tiada pada aksesori folio iPad lain.
Harga lebih tinggi, adakah berbaloi?
Berikut adalah harga jualan iPad 10 di Malaysia:
- 64GB (Wi-Fi) – RM2,099
- 256GB (Wi-Fi) – RM2,849
- 64GB (Cellular) – RM2,849
- 256GB (Cellular) – RM3,599
Berikut pula adalah harga jualan iPad 9 di Malaysia
- 64GB (Wi-Fi) – RM1,599
- 256GB (Wi-Fi) – RM2,349
- 64GB (Cellular) – RM2,249
- 256GB (Cellular) – RM2,999
Beza harga antara kedua-dua varian ini adalah bermula RM500. iPad 10 adalah titik permulaan baik untuk pengguna yang ingin beli iPad pertama. Mereka dapat rekaan yang lebih segar. Skrin berbingkai nipis dan ukuran badan yang lebih halus jadikannya ergonomik untuk dibawa ke mana-mana.
Selain itu, iPad 10 yang lebih segar melalui pengguna A14 Bionic. Paling penting, ia dilengkapi USB-C yang bermakna aksesori lebih murah boleh didapatkan. Hey, anda dapat pilihan yang berwarna warni juga tahu?
Sekiranya bajet anda sangat terhad, iPad 9 masih lagi releven kerana ia masih menerima iPadOS 16 dan segala macam penawaran aksesori Apple masih boleh digunakan pada iPad 9, terutamanya Apple Pencil 1 yang boleh anda gunakan semula bila anda naik taraf ke iPad 10 kelak.