Huawei Malaysia kini mengesahkan tarikh pelancaran untuk telefon pintar flagship terbaru mereka, siri Mate 50. Siri Mate sudah dua tahun tidak dilancar dan ia tidak lagi menggunakan jenama Leica untuk kamera, sebaliknya dengan sesuatu yang serba baru.
Pelancaran siri Huawei Mate 50 di Malaysia akan diadakan pada hari Khamis, 3 November 2022 pukul 4.45 petang. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Huawei Malaysia. Dijangka, promosi tempahan awal akan turut diumumkan dengan hadiah percuma menarik disediakan.
Buat masa ini, Huawei ada membuka tempahan awal dengan membayar deposit RM1. Mereka yang membuat tempahan awal ini berpeluang untuk memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah harian dan mingguan, dengan hadiah utamanya adalah telefon pintar Mate 50.
Spesifikasi Huawei Mate 50
Model asas dalam siri ini menampilkan skrin OLED 6.7-inci 90Hz dengan resolusi tinggi 2700×1224. Ia diperkasa cip Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 4G, tiada 5G padanya bersama RAM 8GB dan storan 256GB.
Terdapat tiga kamera di belakang, gabungan kamera utama 50MP berbilang apertur F1.4 – F4.0, kamera ultra lebar 13MP dan kamera telefoto 12MP dengan zum optikal 5x. Di hadapan pula menggunakan kamera 13MP, di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Kali ini, Huawei memberikan speaker stereo dan kalis air IP68 untuk Mate 50, walaupun ia model bukan Pro. Bateri di dalamnya berkapasiti 4,460mAh dan menyokong pengecasan pantas 66W USB-C serta pengecasan wayarles 50W.
Terdapat dua warna tersedia untuk Mate 50, antara hitam dan perak. Di China, ia dijual pada harga CNY 5,499 (~RM3,584) untuk model 256GB.
Spesifikasi Huawei Mate 50 Pro
Model yang lebih hebat ini memiliki skrin lebih besar, OLED 6.75-inci 120Hz dan resolusi 2616×1212 piksel. Ia juga menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G, tiada 5G bersama RAM 8GB dan storan 256GB.
Terdapat juga storan 512GB dengan warna khas oren menggunakan kamesan kulit vegan di belakang. Di samping itu, ia juga dilapisi kaca Kunlun Glass, dikatakan paling tahan lasak di dunia. Dua lagi warna, hitam dan perak terdapat untuk model 256GB dan tiada kaca Kunlun.
Speaker stereo dan kalis air IP68 juga ada di versi Pro ini. Tetapi bateri sedikit lebih besar digunakan, berkapasiti 4,700mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W USB-C dan pengecasan wayarles 50W.
Di China, Huawei Mate 50 Pro 256GB dijual pada harga CNY 6,799 (~RM4,420) manakala model 512GB berharga CNY 7,799 (~RM5,070).
Sama seperti peranti Huawei lain tahun ini, siri Mate 50 masih tidak boleh menggunakan perkhidmatan dan perisian Google, serta tiada Google Playstore. Ia juga tidak dapat menyokong rangkaian 5G.
Anda boleh mengenali serba sedikit tentang Huawei Mate 50 Pro menerusi video rakan kami, Rory di bawah ini:
[Sumber: Huawei]