Mediatek telah melancarkan satu SoC flagship dalam kategori 4nm. Mediatek Dimensity 9200 kini menyertai Dimensity 9000 dan 9000+ dalam keluarga 4nm tapi ahli terbaharu ini membawakan beberapa naik taraf yang signifikan berbanding dua cip yang telahpun dilancarkan terlebih dahulu.
Bermula daripada teras pengkomputeran, cip ini adalah yang pertama diperkasa teras Cortex-X3 terbaharu Berbanding teras Cortex-X2 yang boleh ditemui pada cip seperti Dimensity 9000+, Snapdragon 8+ Gen 1 dan beberapa cip flagship lain, Cortex-X3 dikatakan 25% lebih berkuasa dan 20% lebih cekap tenaga.
Dua lagi kluster pemproses masing-masing terdiri daripada teras Cortex A715 dan A510 untuk pemprosesan cekap tenaga.
Dimensity 9200 turut menggunakan GPU baharu daripada ARM yang dipanggil Immortalis-G715. Antara ciri yang haru anda ambil perhatian adalah ini adalah GPU ARM pertama yang menyokong Ray Tracing terus pada tahap perkakasan disamping GPU paling cekap tenaga dariapda ARM setakat ini. Lain-lain yang perlu anda ketahui adalah seperti sokongan Variable Rate Shading (VRS) dan keupayaan pembelajaran mesin yang dipertingkat dua kali ganda.
Apabila dibandingkan dengan siri Dimensity 9000, Mediatek memaklumkan yang cip ini mencatatkan skor penanda aras 10% lebih tinggi dalam kategori tugasan multiteras, 10% lebih baik dalam kawal selia haba, prestasi GPU 32% lebih baik dan 41% lebih jimat tenaga sewaktu proses boot.
Telefon yang diperkasa cip Mediatek Dimensity 9200 dijangka menembusi pasaran sebelum 2022 berakhir. Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.