Syarikat tambang rendah AirAsia baru-baru ini telah mengadakan acara pertama seumpamanya oleh syarikat penerbangan Asia Tenggara, dengan mengadakan parti di dalam kapal terbang setinggi 10 ribu kaki. Ia bagi meraikan dua berita besar yang mereka terima sebelum itu.
Berita pertama adalah pencapaian mereka menerbangkan 700 juta penumpang sejak ditubuhkan 21 tahun yang lalu. AirAsia turut menawarkan 7 juta kerusi percuma sempena kejayaan ini.
Kedua pula, mereka menerima dua anugerah dalam World Travel Awards (WTA) 2022 iaitu, anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka di Dunia buat kali ke-10 berturut-turut dan anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka di Dunia kali ke-6 berturut-turut. Anugerah ini diberikan selepas diundi oleh pelbagai pemain industri, pengguna, media dan pelancong profesional seluruh dunia. Ia selepas mereka merangkul anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh SkyTrax buat kali ke-13 berturut-turut.
Perayaan ini disambut oleh AirAsia dengan mengadakan parti di udara, dan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan keselamatan. AirAsia telah membawa BATE (Ethan Curzon dan Yeoh Wai Hong) dan penyanyi di bawah syarikat rakaman Red Records, Airliftz untuk memeriahkan parti ini.
Penerbangan yang terpilih untuk perayaan ini adalah pesawat Airbus A321 dari Kuala Lumpur ke Bali. DJ Bate menghangatkan suasana dengan lagu rancak dan mengiringi nyanyian Airliftz, yang menampilkan dua lagi di atas udara. Airliftz cukup bertenaga membawakan lagu Ease My Mind, serta single terbarunya, Honest.
Kemeriahan sambutan di udara ini ditambah lagi apabila AirAsia memilih dua pemenang dalam pertandingan kuiz sebelum parti bermula. Dua penumpang bertuah telah berjaya membawa pulang tiket penerbangan percuma ke New Zealand dan Langkawi.
AirAsia kembali agresif membuka laluan penerbangan yang ditutup akibat pandemik dua tahun lalu. Mereka telah menyambung semula operasi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Taiwan, Tokyo, Australia, New Zealand, Jeddah dan banyak lagi. Perkhidmatan AirAsia turut dikembangkan menerusi AirAsia Super App, dengan naik taraf seperti pengambilan pemandu AirAsia Ride sebagai pekerja tetap, tempahan hotel lebih meluas serta tempahan penerbangan selain AirAsia.