19 November 2022 adalah hari Pilihan Raya Umum ke-15 dan hari rakyat Malaysia memilih kerajaan yang akan memerintah untuk penggal yang baharu. Seawal jam 8 pagi pintu pusat undi akan dibuka dan masing-masing akan memangkah calon pilihan yang akan mewakili Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Tidak kiralah siapapun yang anda pangkah, pastikan anda ambil tahu 5 perkara ini sebelum keluar mengundi.
1. Kenal pasti pusat mengundi
Anda yang berumur 18 tahun dan keatas ataupun yang tak pernah mendaftar, anda perlu tahu yang nama anda didaftarkan secara automatik dalam senarai Pemilih SPR. Anda boleh semak lokasi mengundi anda di portal Semakan Daftar Pemilih MySPR.
Anda cuma perlukan nombor kad pengenalan untuk sistem menyemaknya bagi pihak anda. Bila anda dah pastikan nama dan nombor Kad Pengenalan anda telah terpapar, ada beberapa perkara penting yang perlu anda catatkan.
Pertama adalah Meklumat Pengundian. Dalam bahagian ini, ada info tentang:
- Pusat Mengundi
- Saluran
- Bilangan
Ingat, anda tak boleh pergi ke sebarang Pusat Mengundi untuk mengundi. Di pusat mengundi, barisan akan disusun mengikut Saluran manakala dalam Bilangan pula adalah kedudukan nama anda dalam rekod Pemilih.
2. Selidik calon yang bakal wakili penggal berikutnya
Seperti biasa, Pilihan Raya bermakna anda perlu memilih, memilih wakil yang akan bawa suara anda ke tahap lebih tinggi, sama ada ke Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Makanya, sewaktu anda semak Daftar Pemilih, aka nada juga maklumat:
- Negeri tempat anda memilih
- Parlimen tempat anda memilih
- DUN tempat anda memilih
Dalam gambar yang dikongsikan, anda boleh perhatikan negeri Pahang, parlimen Paya Besar (P.084), dan DUN Panching (N.19). Siapakah calon-calon yang bertanding? Sekali lagi anda boleh ke portal Semakan Calon Pilihan Raya MySPR, inilah maklumat yang dimuntahkan.
Selidiklah latar belakang calon masing-masing kerana mereka ini akan mewakili anda untuk penggal yang akan datang.
3. Baca ramalan cuaca, bawa payung jika perlu, dan berpakaian selesa.
Proses mengundi akan berlangung pada 19 November 2022 antara jam 8 pagi hingga 6 petang. Anda perlu jangkakan khalayak yang ramai hadir untuk melunaskan tanggung-jawab masing-masing. Oleh sebab itu, anda perlu bersedia daripada segi fizikal, sekurang-kurangnya.
Berpakaian selesa adalah perlu terutamanya memakai kasut kerana anda mungkin perlu beratur untuk satu tempoh yang panjang. Warga emas dan wanita mengandung akan ada laluan khas tapi tetap perlu beratur bersama-sama golongan yang berstatus yang sama.
Periksa ramalan cuaca tempatan kawasan masing-masing dan sekiranya perlu, bawa payung untuk berteduh daripada hujan ataupun panas.
4. Bawa kad pengenalan atau dokumen berkaitan
Dokumen paling penting perlu anda bawa adalah yang membuktikan identiti anda. Biasanya anda akan diminta untuk membawa Kad Pengenalan, iyalah rakyat Malaysia manakah yang tiada kad pengenalan? Jawapannya rakyat yang kehilangan Kad Pengenalan.
Dalam situasi itu, apakah pilihan yang anda ada? Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, ada beberapa dokumen pengenalan diri lain yang boleh anda bawa sewaktu hari mengundi.
- Pasport
- Lesen Memandu
- Dokumen Pengenalan Sementara (JPN. KPPK09)
- Resit Laporan Kehilangan Kad Pengenalan (JPN. KPPK11) (disahkan JPN)
Selepas beratur di saluran yang betul, anda akan tiba di Bilik Mengundi. Maka bermulalah proses mengundi ada, ada 10 langkah pengundian semuanya seperti yang digariskan oleh SPR.
Perlu diingatkan yang telefon tidak dibenarkan di dalam Bilik Mengundi. Anda perlu meninggalkan telefon anda sebelum anda pergi ke meja mengundi dan pungut semula selepas anda jatuhkan kertas undi ke dalam kotak lutsinar yang disediakan.
5. Bersurai daripada Pusat Mengundi segera dan buru promo menarik pascaundi
Sejurus anda keluar daripada Bilik Mengundi, maka tertunailah tanggungjawab anda sebagai Pemilih untuk PRU15 ini. Buat penghidap COVID-19, KKM mewajibkan anda untuk terus pulang ke rumah dan meneruskan pengasingan kendiri.
Dah mengundi? Pastikan anda singgah semua lokasi ini & dapatkan promosi menarik
Tapi, buat golongan yang sihat, ada pelbagai promo menarik pascaundi yang disediakan. Sebahagian besarnya memerlukan anda mempamerkan jari yang ditandakan dengan dakwat untuk menebus promo. Senarainya boleh anda semak dalam artikel kami terdahulu.