Sudah biasa kita lihat di media sosial, ada individu mahu jadi yang pertama menyebar cerita memuat naik status atau kandungan yang tidak tepat. Kemudiannya terpaksa dipadam atau meminta maaf kerana kesilapan tersebut. Selalunya berkaitan kematian seseorang yang terkenal.
Dalam hal ini, media arus perdana sering menjadi rujukan dan sumber untuk mengetahui kesahihan sesuatu berita. Jika perkara tersebut tidak dilaporkan lagi oleh media arus perdana, berkemungkinan besar ia palsu atau belum disahkan.
Tetapi hari ini media arus perdana telah melakukan kesilapan yang sangat besar. Rakyat Malaysia sudah 3-hari menantikan lantikan Perdana Menteri ke-10 tetapi Yang Dipertuan Agong (YDPA) masih belum memutuskannya kerana tiada majoriti yang jelas.
Bagaimanapun, sebelum perkara ini diumumkan secara rasmi, sudah ada media yang melaporkan perkara yang tidak tepat. Malah, ia termasuk media arus perdana.
Laporan yang silap ini menyatakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan, telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim atau sementara. Antara yang melaporkannya adalah New Straits Times, Free Malaysia Today, The Vibes dan media Singapura, Channel News Asia (CNA).
Berita ini dikeluarkan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari Istana Negara lebih awal dan tidak berhenti bertemu wartawan untuk memberi kenyataan. Anwar pula masih di dalam Istana Negara bertemu YDP Agong dan tidak memaklumkan apa-apa kepada wartawan.
Di sini kesilapan dibuat. Memandangkan Muhyiddin telah keluar awal dan Anwar masih di dalam, andaian yang ada ialah Anwar telah dilantik sebagai Perdana Menteri. Perkara ini dikuatkan lagi oleh maklumat yang dikatakan daripada orang terdekat Anwar, bahawa dia telah dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Mungkin yakin dengan sumber dalaman, membuatkan ramai termasuk media arus perdana melaporkan perkara tersebut.
Apa yang boleh dipelajari dari hal ini adalah, media arus perdana juga boleh melakukan kesilapan kerana tidak mendapat berita daripada sumber paling tepat. Dalam hal ini, daripada Istana Negara atau dari Anwar sendiri. Ada media yang meminta maaf kemudian atas kesilapan ini, malah ada yang menukar berita kepada sumber rapat Anwar.
APOLOGY
— Free Malaysia Today (@fmtoday) November 22, 2022
Earlier today, a draft of a story titled "Anwar Perdana Menteri sementara" was erroneously published.
We have since deleted the story and apologise for the confusion that we have caused.
Apa yang pasti sekarang, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa YDP Agong akan memanggil 30 Ahli Parlimen untuk mengadap baginda esok pagi secara individu. Proses ini bertujuan supaya YDP Agong dapat membuat keputusan bagi melantik Perdana Menteri yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Sekarang ni, media arus perdana pun tak boleh dipercayai kalau mereka tak melaporkan dari sumber manakah berita mereka diperoleh. Rakyat juga harus lebih teliti untuk memastikan berita yang diperoleh adalah tepat dan sahih, sebelum dikongsikan kepada orang lain.
Jadi ingat, kalau tak pasti jangan kongsi.