Ketibaan kereta elektrik (EV) ke Malaysia semakin rancak walaupun tahun 2022 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Kita baru melihat Ora Good Cat dilancar minggu lepas, dan BYD Atto 3 akan dilancar minggu ini. Minggu hadapan pula, Volvo akan melancarkan Volvo C40 Recharge Pure Electric.
Kini Mercedes Benz pula menyatakan keinginan mereka untuk memperkenal kereta sedan elektrik, Mercedes EQE ke Malaysia. Ia adalah kereta sedan elektrik sepenuhnya, dilihat sebagai model lebih kecil berbanding Mercedes EQS, serta model yang berbeza daripada Mercedes EQE SUV.
Majlis pelancaran Mercedes EQE akan diadakan pada hari Selasa, 13 Disember 2022 iaitu sehari sebelum Volvo C40 Recharge Pure Electric dilancarkan. Bersempena itu, Mercedes juga telah membuka laman pendaftaran minat untuk mereka yang berminat untuk menjadi terawal mengetahui bilakah Mercedes EQE akan mula dijual.
Model EQE adalah serupa dengan EQS kerana ia dibangunkan daripada platform khas EV iaitu ‘Electric Vehicle Architcture‘ (EVA), berbeza dengan model lebih awal seperti EQA, EQB dan EQC yang dibina berasaskan model berkuasa petrol. Ini menjadikan rekaannya lebih efisyen dan ruang kabin maksimum, kerana tidak perlu lagi menyediakan ruangan untuk sistem enjin pembakaran dalaman.
Apa yang membezakan EQE daripada EQS adalah ia memiliki but kereta biasa, bukannya bercantum dengan cermin belakang. Ruang dalaman juga lebih kecil, seperti lebar jarak tayar lebih pendek (3,120mm vs 3,210mm).
Mercedes EQE pertama kali diperkenal tahun lepas dalam model EQE 350, dengan enjin motor belakang berkuasa 215kW (288hp) dan daya kilas 530Nm. Bateri pula 90.6kWh, sedikit kecil berbanding EQS dan dinyatakan boleh berjalan sehingga 660km degnan sekali cas penuh melalui kitaran WLTP.
Kereta ini menyokong pengecasan AC 22kW yang mengambil masa 4 jam untuk mengecas penuh. Ia turut menyokong pengecasan DC 170kW, dinyatakan boleh mengecas dari 10%-80% dalam masa sekitar 33 minit.
Buat masa ini, masih belum diketahui berapakah harga ia akan dijual di Malaysia. Tetapi pasti ia lebih murah berbanding EQS 450+ yang berharga RM698,888 tanpa insuran.