Selepas Elon Musk mengambil alih pegangan platform media sosial Twitter, banyak perkara pelik dan aneh telah dilakukannya. Paling ketara, adalah perubahan Twitter Blue yang drastik. Sekejap boleh, sekejap tidak. Sekejap itu, sekejap ini.
Dua hari lepas, Elon Musk telah membuat undian di twitter dan bertanya, adakah dia perlu meletak jawatan sebagai ketua Twitter. Dia memberi hanya dua pilihan untuk diundi, antara ‘Yes’ dan ‘No’.
Dua hari kemudian iaitu pagi tadi, selepas mengumpulkan lebih 17 juta undian, jawapan majoriti warga Twitter adalah ‘Yes’ iaitu sebanyak 57.5%. Walauapun nampak masih ramai yang mahu dia menerajui Twitter, tetapi pilihanraya Twitter jelas memilih bahawa dia harus meletak jawatan.
Untuk itu, Elon Musk telah menghantar utusan mengenai keputusan undian tersebut. Dia menyatakan, akan meletak jawatan sebagai CEO selepas menemui seseorang yang ‘cukup bodoh’ untuk mengambil alih tempatnya. Selepas itu, dia hanya akan mengendalikan pasukan perisian dan pelayan sahaja.
I will resign as CEO as soon as I find someone foolish enough to take the job! After that, I will just run the software & servers teams.
— Elon Musk (@elonmusk) December 21, 2022
Minggu lepas, Twitter telah mengemaskini dasar peraturan mereka di mana ia tidak lagi membenarkan promosi pautan sebarang media sosial lain di Twitter, termasuk Facebook, Instagram, Mastodon, Truth Social, Tribel, Nostr dan Post. Ia termasuk pautan di biodata pengguna. Mereka yang melanggarnya, boleh digantung akaun mereka. Tetapi perkara ini seperti telah ditarik balik apabila tweet yang mengumumkannya telah dipadam. Malah, Elon meminta maaf dan mengatakan akan membuat undian sebelum untuk sebarang perubahan besar polisi.
Sikap perubahan dan tidak konsisten ini mengakibatkan dunia Twitter huru-hara selepas Elon Musk mengambil alih. Dia lantang mengatakan mahu kebebasan bersuara ditegakkan di Twitter tetapi langkah yang diambil dilihat sebaliknya. Tidak hairanlah majoriti pengguna mengundi supaya dia meletak jawatan.
Apa pula pendapat anda? Perlukah Elon Musk meletak jawatan sebagai CEO Twitter? Apa lagi langkah yang perlu dibuatnya di masa akan datang?
[Sumber: Elon Musk]
Bacaan Berkaitan
- Elon Musk buat undian untuk undur dari Twitter, ada yang komen rindu misi Marikhnya
- Tweet dengan pautan Facebook & Instagram akan dibuang?
- Apple tarik keluar bajet pengiklanan di Twitter, Elon Musk berang
- Pejabat Twitter ditutup, kad kakitangan hilang akses. Apa nasib platform ini?
- Wabak berita palsu di Twitter makin parah selepas Elon Musk ambil alih