Umum mengetahui, ada banyak berita berkaitan mangsa scam dikongsikan melalui portal berita dan media sosial, tapi anda rasa kenapa masih ada lagi kes mengenainya berlaku? Adakah ia berpunca dari kekurangan pengetahuan mengenai scam? Jenayah scam di Negara ini sangat merisaukan, lebih-lebih lagi apabila statistik tahun 2022 menunjukkan terdapat 20,041 jumlah kes jenayah penipuan dalam talian terjadi. Kejadian itu melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM684.5 juta.
Bagi memastikan mesej dan pengetahuan berkaitan jenayah komersil dapat disebarkan kepada setiap lapisan masyarakat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) baru-baru ini telah lancarkan sebuah lagu khas bertajuk “Be Smart Stay Alert” dan kolaborasi bersama Whoscall.
Antara nama-nama besar yang ada dalam muzik video ini ialah Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia iaitu SAC Victor Sanjos serta Pengarah JSJK, Polis Diraja Malaysia, YDH CP Dato’ Sri Mohd Kamarudin Md Din.
Walaupun lagu ini ringkas tapi ada banyak peringatan mengenai scam disampaikan. Antaranya ialah taktik dan tipu daya penjenayah dalam talian, menggesa pendengar supaya peka dengan scammer serta ingat nasihat-nasihat polis. Dapat dilihat pelbagai lapisan masyarakat terlibat dalam video ini, ia termasuklah orang awam dan pelajar sekolah.
Lagu ini ditampilkan dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Ada juga sarikata Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil disediakan. Jika anda perlukan lirik penuh, JSJK PDRM ada kongsikannya di Facebook rasmi mereka.
Bagi saya, lagu ini tidaklah catchy seperti lagu “Jom Kita Mengundi”. Masa saya dengar lagu itu, memang saya bersemangat nak keluar mengundi. Walaupun begitu, lagu “Be Smart Stay Alert” ada banyak peringatannya, jika disiarkan selalu di TV atau radio, mungkin pesanannya boleh melekat dalam ingatan orang ramai.
Untuk mengekang jenayah scam, pastikan anda sentiasa peka dengan taktik scammer, jangan layan sebarang panggilan atau mesej yang mencurigakan dan hubungi NSRC 997 jika telah menjadi mangsa.