Akhir tahun lepas, terdapat pengguna yang telah mula dapat membuat tempahan kad prabayar Visa Touch n Go eWallet. Hari ini, kelihatan pilihan ini telah dibuka kepada lebih ramai pengguna.
Merekan yang layak mendapatkan kad ini akan dapat melihat ikon “Visa Card” di dalam aplikasi Touch n Go eWallet mereka. Apabila ditekan ikon tersebut, pengguna akan dibawa ke laman pendaftaran.
Sebelum mendaftar, pengguna disajikan dengan beberapa helaian iklan. Antaranya, ia menerangkan tentang kad Visa ini diterima di seluruh dunia dan ia boleh dipautkan kepada aplikasi Touch n Go eWallet, menjadikan penggunaannya lebih mudah. Malah, pengguna juga boleh mengeluarkan wang tunai menerusi mesin ATM.
Touch n Go juga menyatakan bahawa kad ini lebih selamat kerana tiada sebarang nombor dicetak di atas kad fizikal. Hanya terdapat nama pilihan pengguna di atas kad ini. Kad ini menyokong fungsi paywave, jadi ia boleh membuat bayaran secara sentuh atau nombor PIN.
Jika berminat mendaftar, pengguna diberi pilihan untuk mencetak nama pilihan di hadapan kad. Maksima hanya 17 aksara.
Selepas itu, pengguna perlu membuat bayaran untuk mendapatkan kad fizikal. Yuran yang dikenakan ialah RM5 untuk pendaftaran, RM5 penghantaran dan RM8 yuran tahunan. Bagaimanapun, Touch n Go mengecualikan yuran pendaftaran dan yuran tahunan buat masa ini. Hanya perlu bayar kos penghantaran RM5.
Bayaran RM5 akan diambil daripada dompet pengguna, jadi pastikan ia mencukupi atau tambah nilai dahulu Touch n Go eWallet anda.
Tiada fungsi Touch n Go di kad ini
Sedikit sebanyak, kad prabayar Visa Touch n Go eWallet ini agak serupa dengan tawaran BigPay. Prabayar bermaksud pengguna perlu menambah nilai ke dalam kad untuk menggunakannya dan kad ini akan menggunakan baki daripada dompet Touch n Go eWallet pengguna. Malah, ada fungsi mengeluarkan baki ini kepada tunai melalui mesin ATM. Dalam soalan lazim (FAQ), ia menyatakan had pengeluaran tunai di ATM adalah 5 kali sehari, maksima RM1,000 setiap kali.
Tetapi perkara paling penting yang pengguna patut tahu, kad ini tidak boleh digunakan seperti kad Touch n Go biasa. Jadi, ia tidak boleh digunakan untuk membayar tol, atau mana-mana terminal bayaran Touch n Go seperti pengangkutan awam dan tempat meletak kereta.
Mana lagi penting untuk anda? Dapatkan kad prabayar Visa atau kad NFC dulu?