Infinix adalah satu jenama telefon dari Hong Kong. Mereka sudah pun bertapak di dalam Malaysia sejak tahun 2017 lagi. Ada macam-macam telefon telah mereka lancarkan dengan fokus pada segmen permulaan hingga ke pertengahan.
Infinix Note 12 2023 kembali dengan kotak MLBB Light Chaser Beatrix yang lebih menarik
Kali terakhir kami bercerita tentang jenama ini adalah Infinix Note 12 (2023) dan kali ini ada satu lagi produk Infinix yang anda pastinya tak mahu terlepas pandang. Dalam artikel ini, saya nak kongsikan kepada anda tentang Infinix Hot 20, sebah telefon yang boleh anda dapatkan pada RM599.
Jangan anda pandang rendah padanya disebabkan harga. Ia ada beberapa helah yang tiada pada telefon lain. Teruskan membaca untuk maklumat lanjut.
Rekaan ambil kiu daripada segmen premium
Berpaksikan tanda harga RM599 sahaja, kualiti binaan telefon ini saya rasakan melangkaui paras tersebut.
Anda dapat bingkai plastik tegap dengan kemasan belakang plastik yang digilap berkilat untuk mensimulasikan kemasan kaca. Anda juga akan nampak dua bonjolan tempat letaknya kamera dengan rekaan seperti telefon premium. Di bahagian depan anda dapat panel paparan berlubang di bahagian dahi.
Semua tadi adalah sebilangan kiu yang biasanya ada pada telefon yang lebih mahal. Makanya, pada segi estetik, Infinix Hot 20 memang win.
Lain-lain komponen fizikal yang boleh anda temukan adalah seperti butang kawalan audio di sebelah kanan dengan butang kuasa yang merangkap pengimbas cap jari. Jek audio 3.5mm, USB-C dan jeriji speaker boleh anda temukan di bahagian bawah telefon.
NFC ciri paling menyerlah Hot 20
Kalau anda nak cari telefon yang menyokong Google Wallet dan menambah nilai kad Touch ‘n Go (TNG) Enhanced, inilah solusi antara termurah yang anda ada. Dengan kehadiran NFC, anda boleh tinggalkan wallet anda di rumah untuk lakukan pembayaran bila anda tambat kad debit/kredit pada telefon ini.
Panel paparan 90Hz & audio stereo
Infinix Hot 20 memiliki panel paparan 6.82”. Panel paparannya adalah daripada jenis TFT namun kadar segar semulanya adalah 90Hz.
Yang saya perasan kekurangan panel telefon ini adalah tahap kecerahannya yang agak rendah walaupun dalam ruang malap. Jadi, ia akan hadapi masalah bila ingin digunakan di bawah cahaya matahari. Ini mungkin salah satu bahagian lagu yang mengalami dikompromi bagi merealisasikan tanda harga telefon ini.
Walaupun sedikit kurang pada paparan, dibahagian audio ia ada kelebihan. Anda beroleh sistem audio stereo yang baik untuk perlengkap pengalaman multimedia anda. Paparan besar dengan sistem audio sebaik ini, menonton Netflix, YouTube, dan video pada saya amat baik. Pada segi kualiti audio, bunyi yang keluar agak kurang padu daripada segi bass, jadi untuk lebih “umph”, jek audio 3.5mm ada untuk dipadankan dengan earfon anda.
SoC Helio G85 & RAM sehingga 11GB
Bergerak lebih dalam. Di atas papan utama, Infinix Hot 20 diperkasa SoC Helio G85. Ini adalah cip yang agak berusia daripada tahun 2020 dalam kategori 12nm. Sebanyak 8 teras CPU hari dalam dua kluster iaitu 2 teras Cortex-A75 pada kelajuan 2Ghz dan 6 teras Cortex-A55.
RAM atas papan utama adalah 6GB beserta storan dalaman 128GB. Terdapat fungsi RAM Expansion untuk pengguna perluas kapasiti RAM sehingga 11GB dengan memanfaatkan sedikit storan untuk dijadikan RAM maya.
Kalau storan dalaman tak cukup pula, ada lagi slot mikro-SD untuk perluaskan ruang penyimpanan. Anda boleh masukkan sehingga 2 kad nano-SIM dan 1 kad mikro-SD serentak. Kedua-dua kad SIM yang anda masukkan menyokong rangkaian 4G, malangnya 5G tidak disokong.
Helio G85 adalah cip pemproses dalam kategori 12nm. Ia bukanlah cip yang berkuasa tinggi untuk gaming dalam resolusi tajam. Padanlah dengan resolusi skrin telefon ini yang terhad pada 720p sahaja. Bermain permainan pada telefon ini lancar, sekiranya tetapan paling bawah digunakan. Ia boleh jalankan permainan berat seperti Genshin Impact tanpa masalah dan sekiranya ia mampu jalankan Genshin Impact, ia tiada masalah untuk jalankan permainan-permainan lain.
Sistem operasi berasaskan Android 12
Infinix Hot 20 menjalankan sistem operasi XOS 12 berasaskan Android 12. Bloatware agak banyak pada hemah saya berbanding telefon lain.
Ada antaranya boleh dibuang, sementara yang lain tidak boleh. Mungkin mereka menerima bayaran untuk memasang aplikasi ini di dalam sistem operasi itu sendiri bagi memungkinkan harga rendah pada telefon ini.
Antara ciri tambahan telefon ini berbanding Android versi kilang adalah seperti game mode.Anda boleh akses fungsi telefon dengan pantas tanpa perlu keluar daripada permainan. Antara yang boleh diakses adalah seperti perakam layar dan jalan pintas ke setting.
Bateri 5,000mAh dengan pengecasan 18W
Lagi yang menarik dengan telefon ini adalah bateri gergasi yang dimilikinya. Satu isian penuh tiada masalah untuknya membawa anda menempuhi hari. Panel paparan HD+ pula pastinya membantu daripada segi kecekapan penggunaan tenaga. Amatlah sesuai untuk jadikan telefon ini sebagai pusat menonton kandungan multimedia dek konfigurasi speaker stereo.
Yang kurang menarik adalah bila ingin mengisi semula bateri. Blok pengecas 18W yang disediakan di dalam kotak mengambil masa hampir 3 jam untuk mengisi. Jadi, saya sarankan pada anda untuk sambung pengecas setiap kali sebelum tidur sekiranya mahu bangun tidur dengan telefon berbateri penuh.
Kamera tunggal 50MP
Lihat di bahagian bonggolan kamera ini, anda rasakan yang ia ada konfigurasi multikamera. Tapi jangant tertipu kerana telefon ini cuma ada 1 kamera 50MP di bahagian belakang dan 1 kamera 8MP. Saya ingin ingatkan semula kepada anda yang telefon ini cuma berharga RM599 dan pada paras harga sebegitu, saya akan terkejut kalau ia boleh hasilkan gambar yang berkualiti tinggi.
Saya rumuskan yang sistem kamera Infinix Hot 20 adalah baik dan beroperasi seperti yang sepatutnya. Cumanya, saya agak jengkel dengan sela masa antara butang pengatup ditekan dengan gerak balas telefon dalam mengambil gambar. Ia buat saya berasa akan terlepas aksi yang ingin dirakam.
Berikut adalah beberapa sampel gambar daripada lensa Infinix Hot 20.
Kesimpulan
Infinix Hot 20 adalah sebuah telefon yang cemerlang, pada paras harganya. Walaupun ia bukan yang terbaik dalam apa-apa kategori, sekurang-kurangnya sifatnya cukup dan boleh memenuhi keperluan telefon anda seharian. Golongan yang saya nampak sesuai gunakan telefon ini adalah seperti yang ada bajet kecil ataupun sebagai telefon sekunder.
Penghantar makanan ataupun pemandu perkhidmatan e-hailing juga sangat sesuai kerana baterinya yang besar serta resolusi paparan tinggi yang pamerkan peta pada kualiti tajam. Tugas sebagai telefon “basahan” juga sesuai untuk diisi Infinix Hot 20 buat anak-anak kecil yang suka tonton video kerana paparan besar dan speakernya yang kuat.