Seperti yang dijadualkan, pengeluar kereta Korea, Kia telah mendedahkan secara rasmi SUV elektrik mereka iaitu Kia EV9. Pemerhati industri melihatnya sebagai pesaing kepada model seperti Volvo EX90.
Kia EV9 adalah SUV elektrik terbesar jenama itu. Ia dibangunkan di atas platform E-GMP hasilan Hyundai Motor Group. Platform yang sama juga diguna pakai oleh Kia EV6 dan juga Hyundai Ioniq 5.
Daripada segi dimensi, EV9 mempunyai ukuran 5 meter panjang dan lebih 2 meter lebar. Kelegaan daripada tanah juga lebih tinggi daripada kenderaan biasa, sesuai dengan lencana SUV-nya. Pada segi rekaan keseluruhan, kebanyakkan rupanya memang menyamai kenderaan konsep yang dipamerkan buat pertama kalinya sewaktu Los Angeles Auto Show tahun 2021 tempoh hari.
Spesifikasi teknikal kenderaan ini masih belum diumumkan. Antara beberapa jangkaan daripada orang-orang yang berada dalam industri adalah seperti kapasiti bateri melebih 100kWh untuk bawa kereta gergasi ini dalam julat kembara yang munasabah. Kemudian, besar kemungkinan dua varian diperkenal iaitu varian ekamotor dan dwimotor, sama seperti penawaran EV6 sekarang.
Lagi tentang rekaan, EV9 menampilkan rekaan garang luar norma di bahagian depan. Anda tak nampak grill radiator sebaliknya panel rata dengan lampu kepala yang digelar Digital Tiger Face.
Di bahagian belakang, anda turut boleh lihat lampu belakang yang merentasi keseluruhan badan lantas memberikan gaya futuristik secara keseluruhan pada kenderaan ini.
Berbalik kepada bahagian EV kereta ini. Seperti yang anda sedia maklum, platform E-GMP menyokong seni bina elektrik 800V. Menggunakan pengecas 350kW, mengecas 0 hingga 80% bateri kenderaan ini dijangka adalah antara yang terpantas dalam pasaran.
Di bahagian dalam, EV9 dilengkapi 3 panel paparan. Dua daripadanya adalah skrin inforia 12.3” dan skrin ketiga adalah 5” kawalan iklim kabin. Masih terdapat butang-butang fizikal disediakan untuk kepraktikalan seperti tombol pengawal iklim dalam kendaraan.
Pada segi mengangkut penumpang, EV9 ada 7 tempat duduk ataupun 6 tempat duduk. Varian 6 tempat duduk ada fungsi kerusi boleh berpaling ke belakang untuk berikan konfigurasi tempat duduk menghadap antara satu sama lain.
Pelancaran global kereta ini akan berlangsung pada 29 Mac 2023 ini. Pada waktu itu, segala spesifikasi teknikal bakal anda ketahui.