Selaras dengan usaha syarikat induk Airasia, Capital A untuk meningkatkan portfolio perniagaan digital mereka, salah satu perubahan pengurusan telah diumumkan iaitu di bahagian AirAsia Super App. Berkuatkuasa 1 April 2023, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang disandang oleh Amanda Woo, akan digantikan oleh Mohamad Hafidz Mohd Fadzil. Popular dengan nama panggilan Mo, dia akan memegang jawatan CEO AirAsia Super App sebagai pemangku.
Mo mempunyai pengalaman yang luas dalam membina infrastruktur pembayaran Capital A untuk membantu memacu pertumbuhan masa depan portfolio digital syarikat tersebut. Dia telah bersama AirAsia sejak Jun 2019 dan kini memegang jawatan Ketua Pegawai Fintech AirAsia Super App.
Dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam industri pembayaran, Mo mempunyai advokasi yang kuat dalam teknologi pembayaran dan keselamatan dengan memulakan kerjayanya bersama Citi, yang mana beliau memegang pelbagai jawatan dalam operasi pembayaran dan perniagaan kad dan berpindah ke VISA sebagai Ketua e-dagang Asia Pasifik dan seterusnya menyertai MasterCard sebelum bersama AirAsia. Mo memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Ekonomi dan Kewangan serta Ijazah Sarjana Kewangan dari Institut Teknologi Diraja Melbourne di Australia.
Mo Hafidz, mengulas mengenai peranannya yang akan datang, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi saya kepercayaan untuk menerajui airasia Super App, serta kepada Amanda Woo, yang telah membawa Super App untuk terus berkembang pesat secara eksponen dalam tempoh singkat dua tahun. Keutamaan segera saya adalah meneruskan visi fintech platform ini melalui kerjasama yang lebih erat dengan barisan perniagaan Capital A yang lain, termasuk BigPay. Saya juga berharap untuk mengembangkan dan membangunkan syarikat dan juga Allstars serta memberikan tumpuan kepada hala tuju strategik syarikat, mengukuhkan kerjasama dan membina hubungan baharu.”
Colin Currie, CEO AirAsia Digital, berkata, “Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Amanda di atas sumbangan dan dedikasinya yang tak terhingga dalam membawa airasia Super App ke peringkat yang terkini. Sejak 2012, jelas kelihatan perkembangan perniagaan di seluruh Asean yang telah beliau usahakan dan dalam masa dua tahun ini, beliau telah berjaya meluaskan sayap airaia Super App ke seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia dan juga di Filipina. Beliau juga berjaya menambah jumlah pengguna aktif platform tersebut kepada 12 juta pengguna di akhir tahun 2022 serta mengukuhkan nama airasia Super App sebagai ejen pelancongan dalam talian (OTA).”
“Amanda meninggalkan airasia Super App dengan pasukan yang sangat efektif dan bakal diterajui oleh Mo. Kami juga yakin bahawa Mo akan membawa kemahiran, pengetahuan dan pengalamannya dalam memacu perubahan dan perkembangan strategik dalam teknologi pembayaran, pengurusan produk serta penglibatan kerjasama di seluruh rantau untuk membina apa yang telah dicapai oleh airasia Super App. Matlamat Mo adalah untuk mengubah airasia Super App yang lebih dikenali sebagai aplikasi penerbangan AirAsia sebelum ini kepada aplikasi perjalanan super di peringkat Asia yang menjadi saingan hebat kepada aplikasi-aplikasi yang lain seperti Traveloka dan juga Grab. airasia Super App akan menumpukan fokusnya kepada memberikan pilihan yang lebih bernilai serta berkos rendah untuk lebih 700 juta penduduk di Asean dan kepada penduduk di seluruh dunia yang mengunjungi Asean dengan harga yang berpatutan dan promosi yang menguntungkan kepada dua-dua pihak.” tambah Colin.
AirAsia Super App adalah pusat digital sehenti yang menyediakan lebih 15 produk dan perkhidmatan termasuk pengembaraan, e-dagang dan kewangan. Dikuasakan oleh data dan teknologi, AirAsia Super App memanfaatkan ekosistem digitalnya yang terdiri daripada 51 juta pengguna dan 40 juta muat turun untuk menjana pengalaman tanpa gangguan yang telah diperibadikan untuk penggunanya.
[Sumber: AirAsia]