Sebelum ini, kami ada melaporkan bahawa MySejahtera akan menambah ciri tempah janji temu bagi Pemeriksaan Kesihatan Gigi. Kini, sistem itu boleh diguna pakai bermula 20 Mac 2023, tapi untuk Fasa 1. Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi satu hantaran Twitter yang mengumumkan terdapat dua Fasa untuk pelaksanaan sistem ini.
Untuk Fasa 1, penggunaan sistem ini hanya tersedia untuk tempahan janji temu di semua klinik pergigian kerajaan di Melaka dan Pulau Pinang sahaja. Untuk Fasa 2 pula, penggunaan sistem ini baru diperluaskan lagi untuk semua Klinik Pergigian kerajaan di seluruh Malaysia bermula Mei 2023.
Tidak diketahui kenapa Melaka dan Pulau Pinang menjadi pilihan pertama untuk memulakan penggunaan sistem ini, berbanding kawasan Lembah Klang. Bagi penduduk selain Melaka dan Pulau Pinang, buat masa sekarang anda dinasihat untuk pergi secara walk in jika ingin mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian.
Dengan penambahan sistem tempahan janji temu, ia akan dapat mengurangkan masa menunggu pesakit serta melancarkan proses untuk pesakit mendapatkan rawatan pergigian di Klinik Pergigian kerajaan.
Cara untuk membuat tempahan janji temu
- Buka aplikasi MySejahtera
- Di paparan utama, tekan pilihan Janji Temu.
- Tekan nama anda untuk tempahan janji temu.
- Pilih Pemeriksaan Kesihatan Pergigian.
- Untuk cari fasiliti kesihatan, anda perlu mencari mengikut negeri, contohnya Melaka atau Pulau Pinang yang tersedia buat masa sekarang. Setelah mencari, anda akan nampak senarai Klinik Pergigian dan anda boleh pilih klinik pergigian yang berhampiran anda.
- Pilih tarikh anda
- Pilih masa janji temu yang tersedia
- Kemudian sahkan temu janji