Seperti yang dijadualkan, Xiaomi telahpun melancarkan flagship mereka untuk tahun 2023 iaitu Xiaomi 13 Ultra. Daripada pembentangan produk, Xiaomi nampaknya memperkukuh kerjasama mereka bersama Leica kerana macam-macam sentuhan Leica boleh anda temukan pada flagship ini.
Buat pengetahuan anda, telefon ini bakal masuki pasaran global termasuklah Malaysia. Ini adalah kali pertama varian Ultra dijual di luar pasaran China. Sementara menunggu kedatangannya, berikut adalah 5 perkara tentang Xiaomi 13 Ultra yang perlu anda tahu.
1. Empat kamera 50MP dengan optik Leica dan simulasi lensa legenda
Xiaomi kali ini boleh dikatakan taksub dengan Leica. Daipada komponen hinggalah kepada perisian, semuanya mereka bangunkan untuk penuhi kriteria ketat Leica. Bermula dengan komponen fizikal, semua kamera belakang Xiaomi 13 Ultra mengguna pakai sensor 50MP. Kamera utama gunakan sensor IMX989 1” manakala baki 3 kamera lain adalah IMX858.
Jarak fokal kamera-kamera belakang adalah seperti berikut:
- Kamera utama 23mm F1.9
- Kamera ultralebar 12mm F1.8
- Kamera telefoto 75mm (3x) F1.8
- Kamera telefoto 120mm (5x) F3.0
Xiaomi turut masukkan fungsi simulasi lensa-lensa terkenal Leica seperti 35mm, 50mm, 75mm, dan 90mm. Di bahagian depan, Xiaomi 13 Ultra ada kamera selfie 32MP.
2. Panel paparan 2K paling cerah dengan kadar segar semula 120Hz
Di bahagian muka, Xiaomi 13 Ultra ada panel paparan beresolusi 2K (3200 x 1440).
Iterasi kali ini menyaksikan kecerahan yang boleh mencecah 2,600nits. Tertinggi setakat ini dalam kategori telefon pintar. Ia lebih tinggi daripada Oppo Find X6 Pro dan iPhone 14 Pro Max.
Panel paparan OLED itu dilindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus.
3. Sistem speaker berkembar Dolby Atmos
Panel paparan 2K OLED dipadankan dengan sistem audio yang sama hebat. Pada Xiaomi 13 Ultra, bakal pemiliknya akan temui konfigurasi speaker stereo yang menyokong teknologi Dolby Atmos. Ia turut menyokong kodek Hi-Res Audio sama ada secara berkabel ataupun wayarles.
4. Bateri 5,000mAh, nak cas penuh hanya 34 minit
Xiaomi 13 Ultra dilengkapi sistem bateri berkapasiti 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 90W yang katanya boleh mengisi telefon ini daripada sifar kepada 100% dalam masa 34 minit sahaja bila pengecas berkabel digunakan. Tanpa kabel, ia boleh dicas secara wayarles daripada sifar kepada 100% dalam masa 49 minit.
Ia lebih pantas daripada kebanyakan pengecasan berkabel termasuklah iPhone.
5. Snapdragon 8 Gen 2, storan UFS4.0 1TB, RAM LPDDR5X 16GB dan USB 3.2 Gen1
Flagsip 2023 Xiaomi ini diperkasa SoC Snapdragon 8 Gen 2. Sebanyak 3 kombinasi RAM dan storan ditawarkan iaitu RAM 12GB + Storan 256GB, RAM 16GB + Storan 512GB, ataupun RAM 16GB + Storan 1TB. Modul RAM dan storan yang digunakan Xiaomi masing-masing adalah LPDDR5X dan UFS 4.0 iaitu komponen paling maju dan terkini boleh didapati dalam pasaran setakat ini.
Satu lagi bahagian yang ditambah baik adalah piawaian USB. Xiaomi 13 Ultra mengguna pakai piawaian USB 3.2 Gen1 yang miliki 10 kali ganda lebih luas jalur perpindahan berbanding piawian USB pada flagship Xiaomi terdahulu. Jadi, anda boleh jangkakan perpindahan data yang jauh lebih pantas dariapda sebelum ini.
Harga Xiaomi 13 Ultra di China
Xiaomi 13 Ultra akan mula dijual dalam pasaran China pada 21 April 2023. Berikut adalah harga jualannya di sana:
- RAM 12GB + Storan 256GB – CNY 5,999 (RM3,865)
- RAM 16GB + Storan 512GB – CNY 6,499 (RM4,187)
- RAM 16GB + Storan 1TB – CNY 7,299 (RM4,703)