Predator Orion X adalah desktop gaming terbaharu yang dilancarkan Acer. Desktop kompak ini menggunakan papan utama berformat mATX. Jadi anda boleh jangkakan saiznya yang mudah alih. Beratnya adalah 9kg, padan dengan komponen-komponen berprestasi tinggi yang terkandung di dalamnya.
Desktop Orion X mempunyai rekaan badan yang unik. Ia mengambil inspirasi daripada kapsul angkasa dengan tahap selenggara tinggi. Badan Orion X terbahagi kepada tiga zon yang masing-masing boleh dibersihkan dengan mudah kerana panel badannya dilekatkan dengan sendal dan bukannya skru. Makanya, ia boleh dibersihkan dengan mudah tanpa peralatan khas. Hal-hal menaik taraf komponen juga jadi mudah.
Orion X hadir dalam beberapa varian pada pelbagai tangga harga. Spesifkasi paling tinggi untuknya menampilkan CPU Intel generasi ke-13 daripada model Core i9-13900KS yang kalau anda tak terasa “wow”, cip ini ada 24 teras dan 32 bebenang pemproses dan clockspeed cip ini boleh mencapai 6Ghz dalam keadaan overclock.
Bersama-sama CPU berkuasa tinggi, GPU yang sekufu juga dipadankan bersama-sama. Pengguna boleh menemui GPU sehingga GeForce RTX4090 yang turut disejukkan menggunakan cecair bagi mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi walaupun beroperasi dalam satu tempoh yang panjang. RTX4090 Orion X mengandungi VRAM seluas 24GB daripada jenis G6X.
Ditujukan buat para gamers dan pencipta kandungan di luar sana, Predator Orion X didatangkan dengan RAM sehingga 32GB DDR5-5600 untuk pastikan proses multiaplikasi menjadi lancar. Storan data boleh dilakukan pada dua slot storan sehingga 2TB.
Daripada segi ketersambungan, Predator Orion X bersambung dengan Internet melalui sambungan Intel Killer E3100G berkabel ataupun Intel Killer Wi-Fi 6E AX211 secara wayarles. Port I/O yang disediakan adalah 1 USB-C, 7 USB-A pelbagai generasi, jek audio kombo, dan RJ-45 untuk sambungan LAN.
Predator Orion X akan mula dijual dalam pasaran A.S dalam bulan September pada harga bermula USD3,000 (RM13,304).