Qualcomm baru-baru ini telah melancarkan CPU yang dikhaskan untuk peranti wearable bagi mengemas kini Snapdragon Wear 2100 yang dilancarkan tahun sudah. Snapdragon Wear 3100 menjanjikan beberapa penambahbaikan khususnya pada hayat bateri jam tangan pintar yang menggunakan CPU jenis ini.
Jika dibandingkan antara Wear 3100 dengan Wear 2100, tidak banyak perubahan yang boleh dilihat kecuali pada satu bahagian ini.
Dalam Wear 3100 terdapat satu lagi pemproses yang digunakan untuk membantu pemproses utama dalam operasi wearable itu. Kelebihan yang dimiliki pemproses sokongan ini adalah ia menggunakan tenaga yang jauh lebih sedikit berbanding CPU utama, jadi penjimatan tenaga dapat dicapai.
Sejauh mana penjimatannya, Qualcomm memaklumkan yang pemproses sokongan ini 20 kali ganda lebih cekap tenaga dan mampu memberikan hayat wearable melebihi seminggu jika hanya digunakan untuk menunjukkan masa.
Antara fungsi-fungsi baru yang bakal disokong wearable yang menggunakan Wear 3100 adalah seperti:
- Skrin always-on
- Skrin monokrom dan RGB dwilapisan
- Penggunaan sensor yang lebih cekap tenaga
Montblanc, Louis Vuitton, dan Fossil telah menyatakan minat untuk menggunakan produk terbaru ini dan anda boleh menemui produk-produk yang diperkasa Wear 3100 seawal Oktober ini.
[Sumber: Qualcomm]