Asus Malaysia hari ini melancarkan telefon pintar gaming terbaru mereka, ROG Phone 7 dan ROG Phone 7 Ultimate. Telefon ini menerima naik taraf perkakas dalaman dengan rupa yang tidak banyak berubah berbanding model sebelumnya.
Fungsi baharu yang besar sebenarnya lebih banyak terdapat pada kipas penyejuk terbaru, AeroActive Cooler 7. Tambah menarik apabila Asus Malaysia menetapkan harga ROG Phone 7 serupa dengan ROG Phone 6 dahulu, walaupun harganya di peringkat antarabangsa naik sedikit.
Harga dan Promosi ROG Phone 7
Peminat tidak perlu menunggu lama kerana ROG Phone 7 telah mula dijual di Malaysia sekarang. Manakala ROG Phone 7 Ultimate, boleh dibeli mulai 15 Mei 2023.
Harga rasminya adalah seperti berikut:
- ROG Phone 7 (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,599
- ROG Phone 7 (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,299
- ROG Phone 7 Ultimate (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,999
- AeroActive Cooler 7 – RM399
Kipas Penyejuk AeroActive Cooler 7 datang bersama di dalam kotak untuk ROG Phone 7 Ultimate. Bagi ROG Phone 7, kipas ini dijual berasingan.
Warna pula ada dua pilihan untuk ROG Phone 7 iaitu hitam atau putih. Bagi ROG Phone 7 Ultimate, ia hanya ditawarkan dalam warna putih.
Asus Malaysia turut menyediakan promosi khas untuk pembeli terawal ROG Phone 7. Tetapi ia hanya terdapat di jerayawara ROG Phone 7 di Pavilion Bukit Jalil, dari 10-14 Mei 2023. Serta atas talian di ROG Phone 7 Estore.
Pembeli terawal ROG Phone 7 di Pavilion Bukit Jalil dan Estore, akan menerima hadiah percuma bernilai RM946 iaitu jaminan lanjutan, AeroActive Cooler 6, ROG Phone 7 Devilcase dan pelindung skrin kaca antibakteria. Ia diberikan sementara stok masih ada.
Spesifikasi ROG Phone 7 & Phone 7 Pro
ROG Phone 7 dan ROG Phone 7 Ultimate memiliki perkakas dalaman yang serupa. Kuasa dalamannya digerakkan oleh cip terbaru Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, bersama RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan dalaman UFS 4.0 sehingga 512GB.
Ia menggunakan skrin Samsung AMOLED 6.78-inci, HD Penuh dan kadar penyegaran 165Hz. Kaca di luar skrin adalah Corning Gorilla Glass Victus dan pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Kamera hadapan dinaik taraf kepada 32MP, terletak di dalam bingkai di atas skrin. Kamera belakang pula ada tiga, gabungan kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP.
Kapasiti baterinya 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 65W USB-C. Port USB-C ada dua, satu di bawah dan satu lagi di sisi. Sistem bunyi stereo padanya menembak ke hadapan dan ia masih ada jek audio 3.5mm.
Butang bahu ultrasoniknya menggunakan teknologi AirTrigger 5 seperti di ROG Phone 6, menyokong kawalan seperti tekan, leret dan banyak lagi. Ia turut dilengkapi sistem operasi Android 13.
Perkara yang membezakan varian asas dan Ultimate adalah pada bahagian belakang. Varian asas hanya ada logo ROG dengan lampu RGB manakala varian Ultimate, memiliki skrin kedua ROG Vision yang boleh memaparkan beberapa perkara seperti notifikasi, jam dan lain-lain.
Seterusnya, varian Ultimate ada AeroActive Portal, ruang pengudaraan di belakang yang boleh dibuka untuk disambungkan kepada kipas penyejuk AeroActive Cooler 7. Ini adalah sistem yang pertama kali diperkenal pada ROG Phone 6 Ultimate.
Di samping itu, ROG Phone 7 Ultimate datang siap dengan kipas penyejuk AeroActive Cooler 7 di dalam kotak. Kipas penyejuk ini boleh dikatakan naik taraf terbesar untuk ROG Phone 7. Kini ia ada subwoofer terbina di dalam, bilah kipas lebih besar dan mampu menyejukkan bahagian hadapan skrin.