Selain melancarkan telefon flagship Xperia 1V, Sony Malaysia juga melancarkan telefon model kelas pertengahan, Xperia 10 V. Ia adalah sekuel daripada model Xperia 10 IV yang telah dilancarkan pada tahun lepas. Kali ini ia membawakan reka bentuk badan yang lebih ringan, skrin yang lebih cerah dan dilengkapi dengan sensor kamera baru.
Pada bahagian luaran, Xperia 10 V masih mewarisi rupa paras ikonik Xperia terdahulu dengan memiliki aspek paparan 21:9 yang tinggi. Ia mempunyai skrin OLED 6.1 inci beresolusi FHD+ (2520 X 1080), yang Sony memaklumkan 1.5 kali ganda lebih cerah daripada model Xperia 10 IV. Panel tersebut juga ada kadar penyegaran 60Hz, kadar pensampelan sentuh pada 120Hz dan sokongan warna gamut DCI-P3 100%. Skrin tersebut dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass Victus.
Daripada apa yang Sony katakan, kamera utamanya kini menggunakan sensor 1.6 kali ganda lebih besar berbanding model sebelum ini. Ia membolehkan lebih banyak cahaya ditangkap sekali gus menambahbaik tangkapan gambar di persekitaran gelap. Sensor yang dipakai pada kamera utama adalah Exmor RS 1/2.0 inci dengan resolusi 48MP f/1.8 pada jarak fokus 26mm.
Selain itu, Xperia 10 V juga mempunyai kamera telefoto 8MP f/2.2 dengan sensor 1/4.4 inci tapi dengan jarak fokus tetap 54mm. Kamera terakhir adalah kamera ultralebar 8MP f/2.2 menggunakan sensor 1/4 inci yang menawarkan bidang pandangan 120 darjah. Bahagian hadapan terdapat kamera selfie 8MP.
Tambahan pula, untuk merekod video, rakaman boleh distabilkan dengan adanya teknologi Optical SteadyShot yang menggabungkan penstabilan imej optikal dan penstabilan imej elektronik, membolehkan video direkod kurang kabur.
Beralih pada bahagian dalaman, telefon ini diperkasa cip pemproses Snapdragon 695 5G, cip kelas pertengahan yang sedikit tua usianya. Cip tersebut digandingkan dengan RAM 8GB dan storan UFS 128GB. Jika storan tidak mencukupi, ada slot MicroSD yang boleh diperluas sehingga 1TB. Bahagian bateri pula dimuatkan tangki berkapasiti 5,000mAh. Sony mengatakan ia menawarkan masa penggunaan sehingga 34 jam.
Antara ciri lain yang dilengkapi Xperia 10 V adalah kekalisan air dan debu IP65/68, jek audio 3.5mm, speaker stereo, DSEE Ultimate, Bluetooth 5.1 dan NFC. Untuk pasaran Malaysia, ia didatangkan dalam dua varian warna iaitu Ungu dan Hitam.
Telefon pintar Sony Xperia 10 V akan mula dijual di Malaysia pada awal bulan Ogos dengan harga RM2,199. Untuk maklumat lebih lanjut tentang Xperia 10 V, anda boleh layari laman produk telefon itu di sini.