Hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk berlangsungnya acara Apple WWDC 2023. Ia bakal mengambil tempat pada 5 Jun hingga 9 Jun ini. Menjelang acara tersebut, kita boleh jangka bahawa Apple akan memfokuskan kemas kini sistem operasi seperti iOS, iPad OS, watchOS dan macOS serta akan memperkenalkan beberapa perkakas baharu.
Selain apa yang disebutkan di atas, terdapat khabar angin bahawa Apple akan memperkenalkan sistem operasi terbaru iaitu xrOS, sebuah sistem operasi untuk peranti AR/VR Apple akan datang. Ia dikatakan akan dihasil berasaskan iOS, tapi diolah semula untuk persekitaran VR. Walau bagaimanapun, kehadirannya adalah spekulasi semata-mata, tetapi tidak sehingga sekarang.
Ini adalah kerana, Apple didedahkan akan menjemput wartawan yang pakar dalam teknologi VR pada WWDC 2023 nanti. Antara orang yang akan dijemput ialah Ian Hamilton, Editor Upload VR dan Norman Chan, tokoh terkenal dalam menguji peranti AR/VR. Tiada sebab lain untuk Apple menjemput orang-orang dalam bidang VR, melainkan akan melancarkan produk AR/VR satu hari nanti.
Sementara itu, di samping xrOS, Apple dikhabarkan akan melancar peranti set kepala VR. Beberapa perkara berkaitan peranti tersebut telah pun timbul atas talian, dan ia diberi nama Apple Reality Pro. Ia akan menawarkan ciri-ciri seperti FaceTime secara maya, gaming dan pilihan untuk menggunakan peranti itu sebagai paparan tambahan untuk Mac. xrOS juga boleh menjalankan aplikasi iPad dalam mod keserasian.
Apple Reality Pro dijangka akan dilancar pada harga USD3,000 (~RM13,774) untuk versi pertamannya. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, nantikan acara WWDC 2023 yang akan berlangsung pada 5 Jun nanti.
[Sumber: 9to5Mac]