Salah satu perkara yang dinanti belia di dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang lepas adalah e-Tunai Belia Rahmah. Hari ini, dalam sesi soal jawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa e-Tunai Belia Rahmah akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan Jun.
Jelas beliau, sebanyak RM200 akan disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, berusia antara 18 hingga 21 tahun. Bagaimanapun, masih tiada penerangan lanjut tentang cara pembayaran dibuat, selain menjangkakan ia boleh diterima sebelum 19 Jun 2023.
Dari laman web Manfaat oleh Kementerian Kewangan, E-tunai Belia Rahmah merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Kewangan bertujuan untuk meringankan beban kewangan serta membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia. Bantuan ini menyasarkan golongan belia berumur 18-20 tahun atau penuntut Institusi Pengajaran Tinggi (IPT) yang berkelayakan. Sebanyak RM200 dijangka boleh ditebus pada akhir Jun 2023.
Syarat kelayakan untuk menerima e-Tunai Belia Rahmah adalah warganegara Malaysia dan berumur 18-20 tahun pada 2023; atau berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa di institusi pendidikan di Malaysia. Dalam sesi dialog PM bersama mahasiswa UiTM pada bulan April lepas, Perdana Menteri mengumumkan yang inisiatif kredit e-Tunai Belia Rahmah akan diperluaskan manfaatnya kepada semua mahasiswa universiti tanpa mengira usia.
Laman web Manfaat turut menggariskan jenis pelajar Institusi pendidikan di Malaysia Pelajar yang layak iaitu:
- Kolej Komuniti
- Politeknik
- Universiti Awam (UA)/Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA)
- Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)
- Pelajar institusi pendidikan yang setara dengan Tingkatan 6
- Senior Middle 3
- Sijil Tinggi Agama (STAM)
- Diploma Kolej Vokasional
- Diploma dan setara institusi TVET
- Pengajian Asas (Foundation)/Asasi
- A-Level
- International Baccalaureate Diploma
- Australian Matriculation (AUSMAT) Diploma
- Diploma Lanjutan
- Sarjana Muda dan setaraf
- Sarjana dan setaraf
- Doktor Falsafah dan setaraf
- kursus profesional yang bertaraf diploma dan ke atas yang diiktiraf oleh Kerajaan atau badan-badan profesional di Malaysia
Tahun lepas, ePemula (nama asal e-Tunai Belia Rahmah) melantik empat wakil eWallet sebagai platform penebusan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch n Go eWallet. Bagi menarik minat untuk menebus di platform mereka, pelbagai kupon dan diskaun turut disertakan bersama kredit RM150 untuk dibelanjakan.
Tetapi ramai yang tidak berpuas hati dengan GrabPay, kerana menerima baucar untuk berbelanja. Baucar tersebut, perlu dibelanjakan dengan nilai minima baru boleh digunakan. Ia berbeza dengan eWallet lain yang memberikan kebebasan untuk menggunakan kredit tersebut di platform mereka. Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan dan Grab dibiarkan meneruskan usaha tersebut.
Semoga platform eWallet yang terpilih kali ini, memberi kebebasan yang sepatutnya kepada pengguna untuk membelanjakan bantuan yang disalurkan kerajaan. Selain itu, orang ramai juga perlu mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan kerajaan dan tidak menggunakan pada cara yang tidak sepatutnya.
[Sumber: Bernama]