Anda dah dengar tentang Perodua Axia E (2023)? Pada harga RM22,000 ia adalah kereta termurah di Malaysia setakat ini yang ramai anggapnya sebagai “Kereta Rahmah”.
Katakanlah anda buat pinjaman penuh dengan tempoh pinjaman selama 9 tahun pada kadar keuntungan 3%, komitmen bulanan anda diterjemah kepada RM258.70.
Jika tidak diambil kira spesifikasinya, komitmen bulanan sebegitu memang sangat mampu milik. Walau bagaimanapun sebelum berkata anda mampu, tahukah anda yang bank gunakan teknik ini untuk sama ada luluskan permohonan pinjaman anda ataupun tidak? Tak ada gunanya sekiranya anda ada pendapatan RM10,000 sekalipun kalau tak mampu untuk bayar RM258.7 setiap bulan.
Menurut Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), pihak bank akan lihat Nisbah Bayar Hutang (Service Debt Ratio, SDR) pemohon.
Apakah Nisbah Bayar Hutang?
Pengiraan nisbah ini mudah saja. Bahagikan gaji bersih anda selepas semua penolakkan di atas slip gaji. Kemudian bahagikan dengan jumlah komitmen bulanan anda seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman peribadi, dan hutang kad kredit. Selepas itu, darabkan dengan 100 untuk dapatkan peratusan.
Sebagai contoh, SDR 25% bermakna suku daripada gaji anda digunakan untuk bayar hutang. SDR 50% bermakna separuh dan SDR 75% bermakna dua pertiga. Angka inilah yang digunakan bank untuk sama ada meluluskan permohonan anda ataupun tidak.
Bank tidak menetapkan SDR yang khusus tapi SDR 50% ataupun serendah mungkin adalah baik kerana perlu diingati yang anda masih perlukan wang untuk selenggara, petrol, dan sebagainya. Bukan itu saja, baki gaji anda jugalah akan diguna untuk kelangsungan hidup seperti kopi hipster, Spotify, Netflix, dan lain-lain.
Perkara lain yang perlu diambil kira
Walaupun bank meluluskan permohonan anda, masih ada beberapa perkara yang perlu anda ambil kira. Yang pertama adalah premium takaful untuk kenderaan RM22,000 adalah sekitar RM900 hingga RM1,000 bergantung kepada penyedia takaful, nilai NCD, dan beberapa faktor lain.
Kemudian, ada juga perbelanjaan lain perlu dimasukkan seperti nombor pendaftaraan kenderaan serendah RM300 dan beberapa bayaran pemudah cara seperti runner dan caj pentadbiran. Oleh sebab itu, anda mungkin perlukan tunai sekitar RM2,000 untuk dapatkan Axia E (2023).
Baca lebih lanjut tentang Perodua Axia E (2023) daripada artikel-artikel kami yang terdahulu.
Bacaan berkaitan
Bekas menteri bimbang Perodua Axis E berharga “rahmah” tapi tandus ciri keselamatan ABS & ESC