Meta, syarikat induk yang menaungi Facebook, Instagram dan WhatsApp telah melancarkan satu lagi aplikasi media sosial yang baru, dikenali sebagai Threads. Ia dikatakan meniru Twitter iaitu platform yang mengutamakan perkataan berbanding gambar atau video seperti di Facebook dan Instagram.
Mark Zuckerberg, pengasas Facebook menyatakan bahawa Threads dibina oleh pasukan Instagram tetapi dengan matlamat untuk perkongsian dalam bentuk perkataan. Threads menyediakan ruang baru untuk netizen berbual secara santai atau berat secara masa nyata.
Instagram adalah pusat tumpuan berbilion pengguna di seluruh dunia berkongsi gambar dan video. Threads pula mahu membawa apa yang terbaik dari Instagram dan diluaskan dalam bentuk perkataan, membuka ruang untuk orang ramai berkongsi idea kreatif dan positif. Pengguna Threads boleh mengikuti pengguna lain sama seperti di Instagram dan dilindungi dengan kawalan keselamatan yang sedia ada di Instagram.
Pendek kata, Threads adalah klon Twitter. Cara cepat untuk berkongsi maklumat masa nyata. Pendaftarannya kini terbuka untuk semua dan ia boleh diakses menerusi laman web Threads.net atau muat turun aplikasi untuk iOS dan Android.
Threads boleh didaftar menggunakan akaun Instagram sedia ada, atau mendaftar sebagai akaun serba baru. Jika mendaftar dengan akaun Instagram, ia akan turut membawa beberapa maklumat dari Instagram seperti kenalan yang mendaftar dengan Threads, akaun yang dihalang dari diikuti dan lain-lain perkara.
Twitter ada had, apa pula had Threads?
Twitter digemari penggunanya kerana had yang dikenakan seperti 280 perkataan, 4 gambar dan 2 minit video. Tetapi Twitter telah mengubah had ini untuk pengguna berbayar atau “Verified” iaitu sehingga 10,000 perkataan dan 2 jam video.
Sama juga dengan Threads, ia dikenakan had untuk berkongsi. Pengguna Threads boleh memuat naik sehingga 500 perkataan dan ia termasuk pautan, gambar serta video sehingga 5 minit. Lebih sikit daripada Twitter tetapi masih jauh daripada Twitter Verified.
Threads dibina dengan ciri keselamatan Instagram, antaranya menapis perkataan tertentu yang tidak diingini, menghalang pengguna lain dari mengikuti serta melaporkan akaun yang dilihat melanggar peraturan atau melakukan kesalahan.
Sama seperti Instagram, atau sebenarnya sama seperti Twitter, antaramuka Threads menyediakan dua bentuk suapan. Satu kandungan daripada kenalan dan satu lagi kandungan yang dicadangkan untuk dibaca.
Mark ambil kesempatan?
Pelancaran Threads yang agak mengejutkan mungkin kerana mengambil kesempatan terhadap musibah yang melanda Twitter sekarang. Menurut Elon Musk, Twitter mengehadkan pengguna untuk membaca kepada hanya 1,000 tweet sehari manakala pengguna Verified boleh membaca 10,000 tweet sehari.
Threads kini terdapat di lebih 100 negara termasuk Amerika Syarikat tetapi ia masih boleh digunakan di negara yang bernaung di bawah Kesatuan Eropah. Dalam status terkini Mark Zuckerberg di Threads, kini terdapat lebih 10 juta telah berdaftar dalam masa 7 jam selepas ia dibuka.
Adakah anda salah seorang yang telah mendaftar Threads hari ini? Jika tidak, apakah alasan anda tidak mendaftar kerana ia nampak membosankan.
[Sumber: The Verge]