Saya tak tahulah dengan anda, tapi saya perasan yang harga TV bersaiz besar kini dah turun. Waktu PKP dulu, saya survei TV 65” semuanya atas RM3,000. Sekarang dalam tahun 2023, rata-ratanya berada dalam julat RM2,000 hingga RM3,000 sahaja.
Ini bukan jenama-jenama “cikai”, tapi jenama terkenal pun ada. Dalam video ini, saya senaraikan 5 TV 65” pada harga menarik yang boleh anda pertimbang.
1. LG UQ75 65” (65UQ7550PSF) – RM2,389
LG adalah nama yang tidak asing lagi dalam penghasilan panel TV yang cantik. Untuk bajet bawah RM2,500 anda boleh pertimbangkan TV LG dalam siri UQ75 bersaiz 65”.
Ia adalah sebuah TV pintar yang diperkasa sistem operasi webOS. Jadi anda boleh pasang segala macam aplikasi penstriman kegemaran anda termasuklah Astro Multiroom untuk Smart TV.
Disebabkan ia menjalankan webOS TV, ia tidak menyokong Google Assistant untuk arahan suara ataupun ada Google Chromecast. Apa yang ia sokong adalah LG Voice Search dan Amazon Alexa.
Atas papan utama, TV ini diperkasa SoC Alpha 5 Gen 5 AI Processor 4K.Ia adalah processor TV pintar LG kelas permulaan tahun 2022. Oklah, masih agak baru untuk kegunaan biasa. Untuk kelas pertengahan mereka ada Alpha 7 dan flagship, mereka guna Alpha 9.
Cip ini akan antara kerjanya adalah lakukan 4K Upscalling pada panel 4K dengan refresh rate 60Hz padanya. Panel TV ini menyokong HDR 10. Berdasarkan maklumat spesifikasi teknikal, dikatakan juga TV ini menyokong kodek VP9 dan HEVC masing-masing adalah kodek video baharu yang secara ringkasnya, memainkan video strim pada kualiti tinggi tapi gunakan data yang rendah serta jimat tenaga.
Macam TV lain, ia dilengkapi sepasang speaker stereo dengan jumlah output 20W. Perkara yang menarik, ia menyokong teknologi LG Sound Sync. Teknologi ini membolehkan anda dapatkan set audio LG yang menyokongnya dan anda beroleh setup audio minimum kabel.
Untuk port I/O, anda dapat 3 HDMI yang menyokong eARC, 1 LAN, optical out, 1 USB-A, sambungan komposit AV, dan sambungan antena untuk siaran TV digital.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.
2. PRISM+ Q65-QE – RM2,599
Kerap sangat iklan TV ini keluar pada newsfeed saya. Saya tertarik dengan jaminan 2 tahun yang ditawarkannya. Bukan setakat 2 tahun, ia adalah jaminan onsite bermakna juruteknik dari Prism+ akan datang ke lokasi anda untuk membaiki kerosakan TV anda.
Prism+ Q65-QE dijual pada harga RM2,599. Paparannya menyokong piawaian HDR 10 dan katanya menggunakan teknologi Quantum IPS pada kadar segar semula 60Hz. Di jabatan audio, ia dilengkapi sistem stereo 20W dan menyokong Dolby Audio serta DTS TruSurround.
PRISM+ Q65-QE menyokong sistem operasi Android TV 10 jadi anda boleh jangkakan pelbagai aplikasi menarik boleh dipasang pada TV anda termasuklah semua jenis aplikasi penstriman video Walau bagaimanapun, TV ini tidak termasuk dalam senarai TV yang menyokong Astro Multiroom (Digital TV).
Untuk sambungan tanpa wayar, TV ini menyokong Wi-Fi 5 dan juga Bluetooth 5.0. Penawaran port I/O yang anda terima adalah 3 HDMI yang sokong ARC, 2 USB-A, 1 input komposti A/V, 1 untuk audio optikal, dan 1 port LAN RJ45.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.
3. Sony Bravia X75K (KD-65X75K) – RM2,880
Jika anda setia dengan TV Sony, siri X75K ada ahli yang bawah daripada RM3,000. Sony mengguna pakai cip 4K Processor X1 pada TV ini. Ini adalah cip tahun 2015, sedikti berusia tapi masih bolehlah digunakan.
TV ini menjalankan sistem operasi Android TV dengan storan dalaman sebesar 16GB untuk anda pasang segala macam aplikasi kegemaran dan berita baik, ia menyokong Astro Multiroom (Digital TV) untuk anda tonton Astro tanpa dekoder. Ia juga menyokong Chromecast dan boleh menerima arahan suara melalui ciri Google Assistant.
Ia bersambung kepada Internet menggunakan Wi-Fi 5 dan anda boleh gunakan Bluetootn 5.0 untuk sambungkannya kepada aksesori tambahan seperti earbuds ataupun papan kekunci beserta tetikus.
Anda akan temui penawaran I/O yang standard pada TV ini. Anda dapat 3 port HDMI dengan eARC, 1 port audio optikal, 1 port audio 3.5mm, 2 port USB-A.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.
4. HiSense A6500H – RM2,290
Ini dia TV daripada jenama penaja Piala Dunia Qatar 2022. Daripada HiSense, saya perkenalkan kepada anda HiSense A6500H. Ini adalah TV pintar yang menjalankan sistem operasi Google TV tapi tidaklah diberitahu versi yang mana satu.
Walau apapun, anda bolehlah menikmati fungsi pintar seperti arahan suara menggunakan Google Assistant. Semua jenis servis penstriman utama bolehanda dapati melalui gedung aplikasi kecuali Astro Multiroom (Digital TV) kerana ia tidak disokong oleh penyedia perkhidmatan itu.
Macam biasa, TV ini menyokong HDR10 serta disertakan sekali teknologi Motion enhancement and compensation (MEMC) yang sesuai digunakan sewaktu menonton kandungan sukan. Sistem speaker juga sama seperit yang lain iaitu berjumlah 20W.
Pada A6500H, anda beroleh 3 port HDMI, 1 port input komposit A/V, 2 USB-A, 1 audio optikal, dan 1 jek audio 3.5mm. Ia juga menyokong DVB-T2 iaitu siaran MyTV.
Menarik tentang TV ini adalah jaminannya adalah 3 tahun. Kemudian, saluran servis selepas pembelian pun disediakan. Anda boleh buat permohonan untuk servis atau beli alat ganti dengan menghubungi pihak HiSense melalui laman web.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.
5. Samsung 65″ UHD 4K AU7002 (UA65AU7002KXXM) – RM2,399
Daripada jenama Samsung, kita ada TV dalam siri AU7000. Kalau dalam harierki, ia adalah yang paling bawah dalam kategori Crystal UHD TV. Bermula dengan AU7000, kemudian ada AU8000, kemudian AU9000.
Model yang nak saya kongsikan dengan anda adalah AU7002. Ia adalah TV yang dipacu enjin Crystal Processor 4K Samsung yang menyokong HDR10+, sedikit lebih baik daripada HDR10 biasa. Tapi kalau anda orang biasa macam saya, tak nampak pun beza daripada segi dynamic range kandungan yang anda tonton.
Sistem speaker yang ia ada adalah stereo 20W.
AU7002 menjalankan sistem operasi TizenOS. Daripada helaian spesifikasi, tiada sebarang fungsi arahan suara boleh diberikan. Yang bagusnya, selain aplikasi penstriman perdana masa ini, ia juga menyokong Astro Multiroom untuk TV pintar.
TV ini berhubung dengan Internet menerusi Wi-Fi 5 atauapun port Ethernet yang disediakan. Sambungan Bluetoothnya adalah versi 4.2.
Di belakang TV, anda akan temui 3 HDMI yang menyokong eARC, kemudian jek audio optikal, dan antena untuk MyTV. Kalau anda ada sistem media lama yang gunakan kabel merah, putih, kuning, maaf TV ini tak boleh terima input itu.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.