Realme telah menganjurkan galeri gambar “City Exploration Project” untuk mempamerkan hasil fotografi yang ditangkap menggunakan telefon terbaru mereka yang akan datang, siri Realme 11 Pro. Ia diadakan di sebuah kedai alat tulis berusia 100 tahun bertempat di Chinatown Kuala Lumpur atau lebih tepat di 169, Jalan Tun H S Lee City Centre, Kuala Lumpur. Mereka yang berminat boleh mengunjunginya bermula 12 Julai hingga 25 Julai, pada jam 10 pagi hingga 9 malam.
Dalam pameran tersebut, Realme mengetengahkan kekuatan kamera yang mendukung telefon Realme 11 Pro+ dengan gambar-gambar menarik yang diambil oleh 9 jurugambar berpengalaman Malaysia iaitu YingYi, Gems, CK, Azneal, Amir Imran, Ken, Abeden Mung, Hong dan Uni. Tapi tidak terhad pada itu, Realme juga mengambil peluang untuk mendedahkan dua peranti baru yang bakal dilancar bersama Realme 11 Pro+ iaitu jam pintar Realme Watch 3 Pro dan fon putik Realme Buds Air 5 Pro.
Ini bukan pertama kalinya kedua-dua produk dilihat dalam pasaran kerana ada pasaran yang secara rasmi telah menerimanya. Realme Watch 3 Pro telah dilancarkan secara rasmi di pasaran India pada September 2022, dengan harga IR4,999 (~RM282). Realme Buds Air 5 Pro pula diterima pasaran China pada Mei 2023 dengan diletakkan pada harga CNY399 (~RM258).
Harga rasminya di Malaysia akan didedahkan ketika pelancarannya pada 20 Julai 2023 yang bertempat di Pulau Redang, Terengganu. Dijangka harga kedua-dua Realme Watch 3 Pro dan Realme Buds Air 5 Pro yang bakal dilancar tidak jauh beza berbanding pasaran yang disebutkan tadi.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, nantikan laporan kami berkenaan pelancaran dan harga rasminya di Malaysia kelak.
Spesifikasi Realme Buds Air 5 Pro
Realme Watch 3 Pro menampilkan pemacu dinamik 11mm bersama pemacu kedua 6mm. Ia mempunyai pembatalan hingar aktif sehingga 5dB, dan memiliki tiga mikrofon terbina yang menggunakan teknologi AI untuk menghilangkan bunyi latar belakang ketika panggilan. Ada juga sokongan audio Spatial serta sambungan LDAC.
Bekas penyimpan fon putik ini dimuatkan bateri berkapasiti 460mAh dengan setiap fon putik memiliki bateri 60mAh yang memberikan masa penggunaan sehingga 40 jam. Tahap kekalisan airnya adalah IPX5 dan menggunakan Bluetooth 5.3 untuk sambungan ke peranti.
Spesifikasi Realme Watch 3 Pro
Realme Watch 3 Pro didatangkan dengan rupa jam segi empat dengan paparan AMOLED berukuran 1.78 inci. Ia menyokong kecerahan maksimum 500 nits dan dimuatkan 100 jam muka yang boleh diubah suai.
Ciri kesihatan yang dilengkapinya termasuk mengukur kadar denyutan jantung, oksigen dalam darah, pemantauan tidur dan tekanan. Ia ada lebih 110 mod sukan bagi menjejak kecergasan pemakai melalui GPS terbina di dalam jam.
Terdapat mikrofon terbina pada jam yang menggunakan algoritma AI untuk membuang bunyi latar belakang untuk panggilan. Baterinya berkapasiti 345mAh dan boleh bertahan sehingga 10 hari dengan penggunaan biasa.