Persidangan Apple WWDC 2023 pada Jun lepas telah menampilkan beberapa perkara baharu, terutama sekali dari segi perisian. Salah satu daripadanya ialah sistem operasi mudah alih iOS 17 untuk iPhone terpilih.
Pembangun telah disediakan akses sejurus tamat pengumuman, tetapi untuk orang ramai ia baru tersedia sekarang. Jika anda sangat berani dan mahu jadi yang terawal menguji iOS 17, anda boleh berbuat demikian dengan memasang iOS 17 Beta sekarang.
Sebagai amaran awal, iOS 17 Beta merupakan versi ujian dan ia memiliki banyak pepijat dan mungkin memberi pengalaman yang kurang lancar. Pengguna yang mahu memasangnya, dinasihatkan untuk membuat salinan penuh iPhone terlebih dahulu, lebih-lebih lagi jika anda berhasrat untuk kembali kepada iOS 16.
Cara memasang iOS 17 Beta
Sebelum boleh memuat turun iOS 17 Beta, anda perlu menyertai program Beta terlebih dahulu dengan melayari laman web Apple Beta Software Program. Kemudian, daftar masuk menggunakan Apple ID yang sama dengan di iPhone anda.
Kemudian di iPhone anda, pergi ke Settings > General > Software Update > Beta Updates. Di situ akan ada pilihan antara OFF, iOS 17 Public Beta atau iOS 16 Public Beta. Pilih iOS 17 sebab itu yang anda mahu. Kemudian tekan Back dan tekan “Download and Install” untuk memulakan muat turun iOS 17 Beta.
Jika anda tidak nampak pilihan iOS 17 Beta, mungkin kerana iPhone anda tidak lagi menyokong OS terbaru ini. Antara iPhone yang tidak lagi disokong iOS 17 adalah iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone X. Ringkasnya, iPhone yang dilancar tahun 2017 dan sebelumnya. iPhone paling lama yang disokong iOS 17 adalah iPhone XR, iPhone XS dan iPhone XS Max.
iOS 17 membawakan beberapa ciri-ciri baharu kepada iPhone. Antaranya AirDrop dinaiktaraf dengan kemampuan perkongsian kenalan dalam jarak dekat, menggunakan NameDrop. Ada juga fungsi Contact Poster baru, membolehkan pengguna mengubahsuai gambar wallpaper kenalan yang akan keluar apabila membuat atau menerima panggilan kenalan tersebut.
Memanggil Siri juga lebih mudah, cukup dengan menyebut “Siri” tidak lagi “Hey Siri” dan arahan suara boleh dibuat banyak kali tanpa memanggil Siri semula. Jika tidak dapat menjawab panggilan, fungsi baru “Live Voicemail” akan mengubah mesej suara yang ditinggalkan kepada teks secara masa nyata di skrin.
Seperkara lagi naiktaraf yang menarik adalah “StandBy”, yang mengubah iPhone kepada paparan sentiasa hidup seperti Apple Watch semasa mengecas. Dalam kedudukan melintang, ia boleh menunjukkan jam, widget, kalendar dan banyak lagi.