Honor telah menjadualkan majlis pelancaran produk terbarunya pada 20 Julai 2023, jam 8 malam. Acara tersebut akan menyaksikan 3 produk yang bakal dilancar termasuk telefon pintar siri Honor 90 yang merangkumi Honor 90 5G dan Honor 90 Lite, serta sebuah tablet Honor Pad X9.
Pelancaran rasminya boleh disaksikan orang ramai secara langsung menerusi laman Facebook Honor Malaysia. Untuk mengetahui harga yang bakal mendukung telefon siri Honor 90 dan tablet Honor Pad X9 terbaru ini, nantikan pelancarannya yang akan berlangsung dalam dua hari lagi.
Spesifikasi Honor Pad X9
Tablet generasi terbaru ini diperkasa cip Snapdragon 685, bersama RAM 4GB dan storan 128GB. Ia dipadankan dengan skrin IPS LCD 11.5-inci dengan resolusi 2000×1200 serta sokong kadar penyegaran 120Hz.
Sistem pengimejannya dimuatkan satu kamera di belakang menggunakan sensor 5MP f/2.2. Bahagian hadapan pula terdapat kamera selfie 5MP f/2.2 yang ditempatkan dalam bezel skrin.
Menghidupkan tablet adalah dari bateri berkapasiti 7,250mAh dan ia menjalankan sistem operasi MagicOS 7.1 berasaskan Android 13. Untuk sambungan, Honor Pad X9 menyokong Bluetooth 5.1 dan WiFi 5.
Untuk perspektif, harga rasmi Honor Pad X9 di United Kingdom adalah GBP179 (~RM1,013) dan model terdahulu Honor Pad X8 pula dijual di Malaysia pada harga RM899 untuk varian RAM4GB + storan 64GB. Jadi, dijangka harga rasmi Honor Pad X9 mungkin berada di sekitar RM1,000 jika ia dilancarkan di Malaysia nanti.
Spesifikasi Honor 90
Telefon Honor 90 dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 1 Enhanced, memiliki prestasi dipertingkat dengan kelajuan 2.5GHz. Di China, ia ditawarkan dengan pilihan RAM 12GB atau 16GB, serta storan dalaman 256GB atau 512GB.
Skrinnya jenis OLED beresolusi HD Penuh berukuran 6.7-inci, dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan setinggi 1,600nits. Ia dikatakan sangat melindungi mata kerana kadar PWM yang sangat tinggi iaitu 3,840Hz, tertinggi di peranti masa kini.
Kamera hadapannya juga memiliki resolusi sangat tinggi, dengan sensor 50MP F2.4. Di belakang, ia mengekalkan rekaan dua cincin besar seperti Honor 70, memuatkan kamera utama 200MP, kamera ultralebar 12MP dan kamera potret 2MP.
Tenaga disalurkan daripada bateri berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Honor 66W, serta PD 40W. Tiada pengecasan wayarles.
Spesifikasi Honor 90 Lite
Model lebih ringan ini menggunakan cip Dimensity 6020 yang sama digunakan pada Vivo Y36 yang baru saja dilancarkan di Malaysia. Storan dalamannya seluas 256GB dan ia menjalankan sistem operasi MagicOS 7.1 berasaskan Android 13.
Honor 90 Lite hadir dengan panel paparan sebesar 6.7” daripada jenis LTPS LCD pada resolusi FHD+ dan kadar penyegaran 90Hz.
Telefon ini memperagakan konfigurasi trikamera belakang menggabungkan kamera utama 108MP, kamera ultralebar 5MP dan kamera makro 2MP. Swafoto pula menggunakan kamera 16MP yang terletak dalam lubang di di bahagian dahi paparan.
Tenaga disalurkan oleh bateri berkapasiti 4,500mAh dan menyokong kuasa pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C.