Skrin melengkung selalunya dikaitkan dengan telefon pintar mahal, apatah lagi kalau jenis AMOLED. Tetapi Vivo mahu mengubah persepsi tersebut dengan model baru mereka yang akan tiba tidak lagi, Vivo Y78 5G.
Vivo akan melancarkan Vivo Y78 5G di Malaysia pada hari Selasa, 1 Ogos 2023. Orang ramai boleh turut sama menyaksikan pelancaran ini secara langsung, bermula pukul 6 petang di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, YouTube, TikTok, serta di platform e-dagang iaitu Lazada, Shopee, WowShop dan PGMall.
Walaupun harga rasmi belum diumumkan, Vivo Malaysia telah memberi petunjuk bahawa ia akan diletakkan di bawah RM1,500. Satu lagi telefon dengan skrin AMOLED melengkung yang baru dilancarkan adalah Realme 11 Pro, berharga RM1,499. Adakah Vivo Y78 dapat menyaingi harga tersebut atau lebih murah?
Spesifikasi Vivo Y78 5G
Dari segi prestasi, Vivo Y78 menggunakan cip 5G kelas pertengahan iaitu Snapdragon 695. Ia dibekalkan bersama RAM 8GB dan storan 256GB. Itu apa yang telah disenaraikan Vivo Malaysia.
Badannya melengkung di belakang dan di hadapan. Skrin AMOLED melengkung 3D di hadapan, berukuran 6.78-inci HD Penuh, dengan kadar penyegaran 120Hz. Ia ada kecerahan puncak setinggi 1,300nits.
Terdapat lubang kecil di dahi skrin, memuatkan kamera hadapan 16MP F2.45. Di belakang, ia menggabungkan tiga kamera iaitu kamera utama 64MP F1.79 dengan penstabil imej optikal (OIS), kamera potret 2MP dan kamera mikro 2MP.
Vivo Y78 dilengkapi bateri berkapasiti 5,000mAh. Pengecasan pula menyokong kuasa FlashCharge 44W melalui sambungan USB-C. Kepala pengecas diberikan sekali di dalam kotak.
Telefon ini diiktiraf kalis percikan air IP54. Ia hadir dalam dua warna iaitu emas dan hitam. Sistem operasi FunTouch OS 13 digunakan pada Vivo Y78, berasaskan Android 13.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Vivo Y78 5G.